Home Politik Tidak diendahkan punca rakyat cari ‘talian hayat’

Tidak diendahkan punca rakyat cari ‘talian hayat’

Shahrir Abdul Samad

KUALA LUMPUR – Isu pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) terakhir sebanyak RM10, 000 nampaknya tidak berpenghujung.

Veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, rakyat terpaksa mencari talian hayat lain tatkala kerajaan didakwa tidak mengendahkan permintaan rakyat.

“Akhirnya, apabila kerajaan tidak mengendahkan rakyat, mereka mencari ‘talian hayat’.

“Kepada siapa lagi yang boleh mereka menaruh harapan?, soal beliau di Facebook.

Bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu berkata demikian merujuk kepada laporan MalaysiaGazette mengenai tindakan beberapa wakil dan NGO mewakili pencarum KWSP yang berjumpa dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Mereka menyerahkan memorandum menuntut pengeluaran wang KWSP RM10,000 secara one off atau sekali bayar kepada Najib untuk dibawa kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Semasa pandemik Covid-19, kerajan meluluskan pengeluaran khas KWSP menerusi tiga skim iaitu i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra.

Skim i-Lestari dibenarkan 1 April 2020 hingga 31 Mac 2021 dengan kelayakan pengeluaran minimum RM50 dan maksimum RM500 sehingga 12 bulan melalui Akaun 2.

i-Sinar pula dibuka pada November 2020 dengan had pengeluaran antara RM10,000 hingga RM60,000/

Kerajaan kemudian mengumumkan pengeluaran khas menerusi i-Citra bermula Ogos tahun  dengan had pengeluaran RM5,000.

Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berterusan dan pemulihan ekonomi yang berperingkat-peringkat, UMNO sekali lagi memohon supaya kerajaan membenarkan pengeluaran i-Citra terakhir bagi membolehkan golongan terjejas teruk ketika pandemik  semasa penutupan ekonomi dapat bangun semula.

Tuntutan demi tuntutan telah disuarakan oleh Pemuda UMNO.

Namun pada 26 Disember lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan tidak bercadang untuk membenarkan pengeluaran terakhir i-Citra walaupun rakyat mahu wang tersebut, mengambil kira cabaran hidup pasca pandemik dan musibah banjir besar.

Sebaliknya, kata Ismail Sabri, kerajaan sudah menyediakan bantuan kewangan kepada perniagaan dan individu bagi meringankan beban mereka yang terjejas. –  MalaysiaGazette