KUALA LUMPUR – NGO Malaysia akan terus bersuara menentang ketidakadilan dan mempertahankan hak rakyat Palestin yang tertindas.
Badan bukan kerajaan itu akan terus mengetengahkan isu berkenaan untuk tahun ini dan memastikan orang ramai mendapat maklumat yang tepat, kata Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid.
Beliau berkata, perkara itu merupakan antara kata sepakat yang dicapai dalam Bengkel Perancangan Kempen Palestin Serantau anjuran MAPIM yang diadakan baru-baru ini.
“Pendirian NGO Malaysia dan kerajaan terkenal sentiasa menyokong perjuangan Palestin untuk kebebasan dan hak untuk menentukan nasib sendiri.
“NGO Malaysia berbangga dan berbesar hati atas komitmen dan usaha berterusan kerajaan untuk memperjuangkan nasib mereka yang ditindas oleh kekejaman Israel.
“Namun, pada masa yang sama, amat dikesalkan ada negara kuasa besar yang mendakwa mereka memperjuangkan keadilan tetapi ‘dibutakan’ dengan ketidakadilan yang dialami oleh rakyat Palestin,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Mohd Azmi berkata, ramai yang bercakap tentang keadilan dan kebebasan tetapi menjadi buta apabila rakan dan sekutu melakukan kesalahan dan penindasan terhadap rakyat Palestin.
“Untuk Malaysia, kami akan terus menyumbang kepada Palestin dan badan antarabangsa untuk membantu rakyat negara itu.
“Kami menyedari keperluan untuk bekerja lebih erat dengan saluran berita di seluruh dunia dalam membina versi sahih kepada peristiwa yang berlaku dan akan mengekalkan pemerhatian kepada kandungan berita yang disiarkan,” ujarnya.
Katanya lagi, penindasan dan rampasan tanah Palestin menjadi isu yang sangat kompleks sehingga zionis mendapat sokongan daripada Amerika Syarikat apabila membiarkan tanah dan rumah warga Palestin dirampas.
Ia disifatkan sebagai cabaran yang luar biasa terutama bagi masyarakat Islam masa kini dan pelbagai persoalan serta kejutan timbul daripada penindasan dan kekejaman terang-terangan rejim Israel terhadap rakyat Palestin.
“Mengapa ia berlaku? Mengapa seluruh dunia Islam disekeliling membiarkannya?” soalnya.
Dalam pada itu Mohd Azmi menegaskan, NGO Malaysia akan menumpukan usaha untuk menentang naratif Zionis.
Ini kerana kataya, Zionis mereka-reka naratif untuk menjustifikasi pembunuhan warga dan pemusnahan harta kediaman Palestin.
Mereka menuduh dan melukis gambaran palsu pihak berkuasa Palestin menggunakan orang awam sebagai perisai manusia, katanya.
“Untuk masa hadapan, ketegangan dijangka kekal tinggi antara Israel dan Palestin yang tinggal di Baitulmaqdis Timur,” tambahnya. – MalaysiaGazette