Home Politik Langkah UMNO semakin laju – Zahid

Langkah UMNO semakin laju – Zahid

Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Walaupun UMNO tewas angkara fitnah dan tipu daya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) yang lalu, parti itu akan terus bangkit dan mara penuh yakin tanpa gentar.

Itu jaminan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam kenyataannya, hari ini, sebagai mengulas maksud senikata lagu parti keramat itu, ‘UMNO terus mara untuk rakyat Malaysia’.

Beliau berkata, senikata itu juga membawa maksud suatu pernyataan bahawa UMNO akan mengutamakan rakyat dalam keadaan apa sekali pun.

“UMNO terus mara untuk rakyat Malaysia, membawa maksud yang sangat mendalam dan besar ertinya. Suatu tekad bahawa UMNO tidak akan menyerah dan berundur dalam perjuangannya.

“Ia juga suatu perakuan bahawa UMNO tidak akan sesekali mengabaikan semangat dan prinsipnya serta semangat itu semakin jelas dan nyata selepas PRU-14,” katanya dalam hantaran menerusi Facebooknya.

Menurut Ahmad Zahid, kekalahan itu mungkin menghentikan langkah seketika, tetapi selepas tiga tahun berlalu, parti itu semakin bertambah laju dan deras.

Ujarnya, tiada apa lagi dapat menyekat kemaraan UMNO selepas itu walau sebesar gunung fitnah cuba menghadang.

“Kalah sekali bukan bermakna kalah selama-lamanya, malah menjadikan UMNO lebih berkobar.

“Para pembohong, penzalim kekhuatiran kerana tidak menjangkakan itu respons UMNO kepada kekalahan dan mereka sama sekali tidak menyangka UMNO terus mara untuk rakyat Malaysia bukan sekadar kata-kata.

“Sebaliknya sanubari berjuta ahlinya demi sebuah perjuangan untuk agama, bangsa dan negara,” katanya.

Beliau berkata, perjuangan menegakkan kebenaran dan menentang kebatilan oleh mereka yang rakuskan kuasa pasti akan mengembalikan semula UMNO untuk membawa kemakmuran dan kesejahteraan rakyat pada PRU-15 dengan izin Allah. – MalaysiaGazette