Home Seni Hidup Pusat Autisme PDRM jadi anak angkat Yayasan Bank Rakyat

Pusat Autisme PDRM jadi anak angkat Yayasan Bank Rakyat

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani bersama Pengerusi Yayasan Bank Rakyat, Datuk Wira Megat Zulkarnain Tan Sri Omardin (kiri) beramah mesra dengan sebahagian pelajar yang hadir pada Program Pendidikan kerjasama Yayasan Bank Rakyat dan Pusat Autisme PDRM - Pengaman - MAIWP di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 12 JANUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Seramai 23 anak-anak di Pusat Autisme Polis Diraja Malaysia (PDRM) dijadikan anak angkat Yayasan Bank Rakyat hari ini.

Pengerusinya Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, yayasan itu berhasrat untuk memainkan peranan dalam menjaga kebajikan dan pendidikan anak-anak di pusat ini.

“Yang pastinya bila kita mengambil pusat autisme ini sebagai anak angkat, jadi kita akan fikir bagaimana bantuan yang berterusan secara tahunan dapat kita salurkan supaya  dapat meringankan sedikit bebanan pusat autisme ini.

“Kalau pusat ini ada keupayaan dari segi kewangan, ia membolehkan lebih ramai kanak-kanak istimewa boleh diambil kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir ke Program Pendidikan kerjasama Yayasan Bank Rakyat dan Pusat Autisme PDRM Pengaman-MAIWP di sini, di Pusat Autism PDRM yang turut disertai Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

Dalam majlis itu, Yayasan Bank Rakyat menyalurkan sumbangan sebanyak RM100,000.

 

Pengerusi Yayasan Bank Rakyat, Datuk  Megat Zulkarnain Tan Sri Omardin (kiri) menyerahkan replika cek kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani pada Program Pendidikan kerjasama Yayasan Bank Rakyat dan Pusat Autisme PDRM – Pengaman – MAIWP di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 12 JANUARI 2022.

 

Dalam pada itu Acryl Sani juga menyatakan rasa gembira  dengan kesudiaan Yayasan Bank Rakyat yang menjadikan Pusat Autisme PDRM sebagai anak angkat mereka.

Menurutnya, keprihatinan yayasan itu menawarkan sumbangan kepada pusat autisme yang dilancarkan 25 Mac tahun lalu dapat meringankan beban pentadbiran.

“Untuk menguruskan sekolah autisme ini memerlukan kos tinggi. Di sini ada 23 kanak-kanak autism tetapi masih ramai lagi tunggu giliran untuk ditempatkan di sini.

“PDRM bersama PengamanMAIWP telah mengembangkan pusat ini secara berfasa tetapi bergantung kepada kemudahan dan keupayaan kewangan yang dimiliki ketika ini.

“Tetapi dengan bantuan kewangan ini (dari Yayasan Bank Rakyat) ia dapat menampung kos  tenaga pengajar yang terlatih khusus untuk anak-anak ini.

“Di sini, seorang tenaga pengajar hanya mampu ajar dua atau tiga anak autisme sahaja, dan bilangan pengajar khusus ini terhad ketika ini,” katanya. – MalaysiaGazette