Home Seni Hidup Pasukan Bencana Istana Negara bantu 41 mangsa banjir Jerantut

Pasukan Bencana Istana Negara bantu 41 mangsa banjir Jerantut

Misi bantuan Pasukan Bencana Istana Negara meneruskan misi bantuan kepada mangsa banjir Kampung Yong dan Kampung Atok, Kuala Tahan, Jerantut, Pahang semalam.- Foto: FB Istana Negara

KUANTAN – Misi bantuan Pasukan Bencana Istana Negara meneruskan misi bantuan kepada mangsa banjir Kampung Yong dan Kampung Atok, Kuala Tahan, Jerantut dekat sini semalam.

Menerusi hantaran rasmi Facebook Istana Negara, misi bantuan kepada mangsa banjir membekalkan barangan keperluan harian dan wang tunai kepada kepada 41 buah keluarga.

“Misi bantuan in juga melibatkan penyertaan sukarelawan Pasukan Telekom Malaysia Reaching Out Volunteers (TMROVers).

“Kerjasama antara Pasukan Bencana Istana Negara dan TMROVers adalah atas perkenan dan cetusan idea KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,” kata kenyataan itu.

Difahamkan, sukarelawan Pasukan Bencana Istana Negara dan TMROVers turut menempuhi perjalanan selama 30 minit menaiki bot dari jeti Kuala Tahan ke Kampung Yong dan Kampung Atok.

Misi diketuai oleh Pengarah Operasi Pasukan Bencana Istana Negara yang juga Juruiring Tentera Udara kepada Seri Paduka Baginda, Brigadier Jeneral Datuk Zahari Yahya.

Hadir sama, Juruiring Tentera Darat, Brigadier Jeneral Datuk Sharizan Wan Chik dan Penolong Pengurus Bantuan Kemanusiaan Yayasan TM, Nuraini Ishak.

Terdahulu Seri Paduka Baginda telah menzahirkan hasrat agar Pasukan Bantuan Bencana Istana Negara bekerjasama dengan pihak atau badan bukan kerajaan dalam membantu jentera kerajaan menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir. – MalaysiaGazatte