Home Nasional PAPSMA sokong usaha mansuh khidmat ejen haram pekerja asing

PAPSMA sokong usaha mansuh khidmat ejen haram pekerja asing

Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Langkah kerajaan mahu memansuhkan semua khidmat ejen haram pengambilan pekerja asing disambut baik Pertubuhan Kebangsaan Agensi Perkhidmatan Swasta Malaysia (PAPSMA).

Setiausaha PAPSMA, Dr. Sukumaran Nair berkata, ia sekaligus akan memastikan hanya agensi berdaftar sahaja dapat memainkan peranan dalam aktiviti yang berkaitan dengan industri pengambilan pekerja asing di Malaysia.

“Ini akan memansuhkan pengambilan pekerja asing tanpa kebenaran, sindiket dan monopoli daripada semua individu dan organisasi dari mana-mana negara tertentu berkaitan dengan industri pengambilan asing di Malaysia.

“Kami akan bekerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia (KSM) dalam semua usaha dan tindakan kami untuk membasmi pemberian maklumat palsu dan tindakan tidak wajar oleh ejen haram yang tidak bertanggungjawab dalam mengumpul pembayaran yang terlalu tinggi daripada majikan tempatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

KSM pada Isnin lalu menasihatkan majikan tidak menggunakan pihak ketiga atau orang tengah yang  boleh mempercepatkan proses permohonan membawa masuk pekerja asing susulan kelulusan kerajaan bagi tujuan itu untuk semua sektor.

Menterinya, Datuk Seri M. Saravanan berkata, ia untuk mengelak daripada sebarang penipuan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Dalam pada itu, Sukumaran berkata, pihaknya menyambut baik langkah Malaysia yang akan menandatangani menandatangani memorandum persefahaman Pengambilan dan Penempatan Pekhidmat Domestik Indonesia (MoU PDI) pada minggu pertama Februari ini di Indonesia.

“PAPSMA akan memastikan semua terma dan syarat yang ditetapkan oleh kerajaan berhubung dengan pengambilan dan kemudahan bagi pihak semua pelanggan kami akan dipatuhi selepas menandatangani MoU dengan pelbagai negara sumber bermula dengan Indonesia.

“Kami gembira mengetahui bahawa KSM mengiktiraf kepentingan perkhidmatan kami sebagai fasilitator dan pengantara dalam proses pengambilan pembantu rumah asing ke Malaysia antara negara asing, ejen perekrut asing, pekerja domestik dan majikan tempatan.

“Kami juga menyokong langkah kementerian untuk membuka kelulusan pembantu rumah dari semua negara sumber terutamanya dari Bangladesh seperti yang dinyatakan oleh menteri semasa pertemuan itu yang akan membolehkan industri berdaya saing dan tidak dimonopoli oleh hanya beberapa negara sumber yang diberi kuasa pada masa ini,” katanya lagi.

Untuk rekod, Malaysia dan Indonesia pertama kali menandatangani MoU PDI itu pada 13 Mei 2006 di Bali dan susulan daripada itu, Protokol Meminda MoU PDI telah ditandatangani pada 31 Mei 2011 di Bandung yang telah tamat pada 30 Mei 2016. – MalaysiaGazette