Home Nasional Bantu peluang pendidikan kanak-kanak Rohingya satu usaha baik – Mapim

Bantu peluang pendidikan kanak-kanak Rohingya satu usaha baik – Mapim

Gelagat kanak-kanak bangsa Rohingya ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pasar Borong Kuala Lumpur, Selayang, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 20 MAC 2020. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Langkah Kementerian Luar yang sedia menjadi penyelaras dalam usaha membantu peluang pendidikan kanak-kanak pelarian Rohingya di Malaysia bersama dengan badan sukarela perlu disambut baik oleh semua pihak.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, pihaknya bersetuju dengan tindakan yang hendak dilaksanakan dan usaha itu adalah sangat baik.

Katanya, sememangnya keperluan pendidikan untuk anak-anak pelarian Rohingya amat mendesak dan masa depan mereka bergantung kepada pendidikan.

“Kanak-kanak pelarian di negara ini akan terdedah kepada masalah sosial jika mereka tidak diberi pendidikan yang sempurna.

“Kami berpendapat isu anak-anak Rohingya mengemis di jalan sekitar ibu negara berpunca bahawa mereka tidak ada akses ke sekolah dan memahami undang-undang di negara ini.

“Kami juga berpendapat status mereka yang tidak pernah diiktiraf kerana Malaysia tiada meratifikasi Konvensyen Pelarian 1951 dan Protokol 1967 perlu dibincang semula supaya keperluan mereka seperti pendidikan dapat diatur dengan lebih sistematik dan terselaras.

“Kami berpendirian jika bantuan pendidikan dapat disalurkan, banyak isu sosial di kalangan mereka dapat diselesaikan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu Mohd Azmi berkata, bantuan kemanusiaan yang diberikan oleh Malaysia perlu dilihat secara jangka panjang dan jika direncana dengan baik akan menjadi aset kepada negara.

Ujarnya, Mapim berpandangan usaha untuk memindahkan rakyat Rohingya ke negara ketiga yang berminat atas dasar suaka perlindungan politik adalah satu pilihan mengikut kehendak mereka.

Inisiatif yang diambil oleh Wisma Putra sebagai fasilitator melibatkan pertubuhan bukan kerajaan yang prihatin amat wajar dan perlu diatur dengan lebih tersusun dan berjangka masa panjang, jelasnya.

Bagi tujuan itu kata beliau, Mapim akan menghasilkan sebuah cadangan untuk dibentangkan kepada Wisma Putra dalam rangka menjalinkan kerjasama jangka panjang mengenai pendatang.

“Kami percaya melalui sumber dana dari Yayasan Qatar bersama masyarakat madani, ia boleh merealisasikan matlamat membentuk insan berguna bukan sahaja kepada komuniti mereka akan tetapi juga kepada negara dimana mereka menumpang buat sementara.

“Kami sangat bersedia dan mengalu-alukan kerjasama dengan pihak Wisma Putra bagi merealisasikan pengurusan pendidikan anak-anak Rohingya termasuk anak-anak pendatang dari negara lain, seperti Kemboja, Palestin, Syria, Yemen dan Afghanistan,” katanya. – MalaysiaGazette