PETALING JAYA – Jabatan Imigresen Malaysia telah berjaya mengusir seramai 38,880 pendatang asing tanpa izin (PATI) sejak Januari lalu hingga kelmarin.
Malah, sebanyak 312 majikan pula telah didakwa di mahkamah kerana menggajikan pekerja asing yang tidak mempunyai dokumen, kata Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafa Ali.
Menurutnya, mereka yang diusir adalah warga asing dari Indonesia, Bangladesh, Myanmar dan Nepal.
“Jumlah yang ditangkap itu tidak termasuk 13,000 PATI yang tidak memiliki E-Kad (Enforcement Kad) yang tarikh tamat permohonannya berakhir berakhir Jun lepas,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan dialog dan seminar “Isu-isu Semasa Imigresen dan Penggajian Pekerja Asing di Kompleks Kastam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini hari ini.
Menurut Mustafa, jumlah tangkapan PATI paling ramai dilakukan oleh jabatan itu menerusi Ops Mega yang dilakukan adalah di Lembah Klang.
Katanya, ia berikutan demografi kependudukan serta kawasan tersebut yang menyediakan banyak pekerjaan menyebakan menyebabkan PATI tertumpu di situ.
Selain itu katanya, negeri-negeri lain yang turut mempunyai lambakan PATI adalah di Johor dan Negeri Sembilan.
Mengulas lanjut Mustafa menegaskan, PATI paling ramai yang ditangkap dalam operasi yang dilakukan terlibat dalam sektor pembinaan dan perkhidmatan.
“Di kawasan-kawasan pembinaan terdapat banyaknya rumah-rumah kongsi. Di situlah mereka tinggal.
“Bila ada rumah-rumah kongsi ini sistem perparitan, sistem kumbahan dan tempat pembuangan sampah, penyambungan haram dalam soal elektrik , air termasuk persekitaran yang terlalu daif pasti berlaku.
“Kita bimbang, jika berlaku kebakaran melibatkan orang asing negara kita akan dipersalahkan.
“Itu sebab saya nasihatkan majikan-majikan kepada pekerja-pekerja itu kena bertanggungjawab terhadap keselamatan pekerja mereka,” ujarnya. – MalaysiaGazette