Home Sukan Selepas Sabah FC, Kurniawan bawa diri ke Itali

Selepas Sabah FC, Kurniawan bawa diri ke Itali

Kurniawan Dwi Yulianto.

KUALA LUMPUR – Bekas ketua jurulatih Sabah, Kurniawan Dwi Yulianto dilaporkan akan berkelana ke Itali untuk menjadi sebahagian daripada barisan kejurulatihan kelab saingan Serie B, Como FC.

Tugasan bersama kelab yang kini menduduki tangga ke-11 liga itu menyaksikan Kurniawan bakal menjadi penolong kepada ketua jurulatih, Giacomo Gattuso.
Menurut laporan Goal.Indonesia, pengendali berusia 45 tahun itu mendedahkan sedang menunggu segala urusan bagi menyelesaikan isu permit kerja di Itali yang sedikit lewat kerana varian Omicron melanda dunia ketika ini.
Difahamkan, Como FC yang dimiliki oleh rakyat Indonesia, Robert Budi Hartono yang juga pemilik syarikat Djarum sudah lama berminat untuk mendapatkan khidmat Kurniawan, namun pada ketika itu dia masih membimbing Sabah.

“Tidak pernah saya membayangkan. Tidak pernah juga saya mempunyai mimpi seperti ini.

“Jadi seperti tahun lalu ketika mereka dinaikkan pangkat ke Serie B, sekitar pada bulan Jun atau Julai, saya dihubungi oleh Pak Mirwan (Robert Wijaya Suwanto). Dia mengatakan mahu jurulatih dari Indonesia untuk menjadi penolong (jurulatih).

“Tapi kerana saya masih terikat kontrak dengan Sabah FC, saya mengatakan kepadanya saya perlu menghabiskan kontrak terlebih dahulu.”

“Kalau itu memang rezeki, kontrak saya habis pada Disember. Mungkin ini sudah menjadi jalannya. Alhamdulillah saya berbincang dengannya lagi dan mereka masih memberikan peluang buat saya untuk menyertai pasukan.”

“Semalam saya menyiapkan visa ke United Kingdom, jadi saya dibantu dahulu di Garuda Select sambil menunggu permit kerja ke Itali,” kata Kurniawan dalam laporan itu.

Itali nyata bukan asing buat Kurniawan kerana pada zaman remajanya, dia pernah menyertai Akademi Sampdoria pada tahun 1994. – MalaysiaGazette