Home Nasional 21,524 individu benar-benar perlukan pengeluaran KWSP i-Citra – Biro Penyelidikan Pemuda UMNO

21,524 individu benar-benar perlukan pengeluaran KWSP i-Citra – Biro Penyelidikan Pemuda UMNO

Pengerusi Biro Penyelidikan Pergerakan Pemuda UMNO, Azril Rizal Yusof Sarit (dua kanan) bersama timbalannya, Datuk Mohamad Nizar Najib (dua kiri) serta yang lain bergambar sambil menunjukkan laporan ‘Dapatan Kaji Selidik Awam Mengenai Pengeluaran KWSP’ di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 14 JANUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Hasil kaji selidik awam mengenai pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) i-Citra yang dijalankan secara atas talian oleh Pemuda UMNO Malaysia mendapati seramai 21,524 individu, atau 97.12 peratus responden, memerlukan pengeluaran simpanan mereka ketika ini.

Kajian yang dibuat dalam tempoh masa sehari pada Selasa lalu menerusi aplikasi WhatsApp dan laman Facebook itu dibentangkan oleh Pengerusi Biro Penyelidikan Pergerakan Pemuda UMNO, Azril Rizal Yusof Sarit.

Menurut beliau, kaji selidik itu secara keseluruhan melibatkan seramai 21,763 individu namun hanya 639 daripadanya memberi respon tidak memerlukan pengeluaran KWSP.

Azril Rizal Yusof Sarit. Foto HAZROL ZAINAL, 14 JANUARI 2022.

Katanya, berdasarkan pecahan umur, mereka yang berusia antara 35 hingga 44 tahun didapati menjadi kumpulan tertinggi yang memerlukan pengeluaran KWSP iaitu meliputi 10,698 individu diikuti mereka yang berusia 25 hingga 34 tahun berjumlah 5,455 orang.

Manakala seramai 5,150 individu yang berusia 45 hingga 54 turut memerlukan pengeluaran KWSP selain 233 individu (55-64 tahun), 168 individu (18-24 tahun), 35 individu (atas 65 tahun) dan 24 individu berusia 18 tahun ke bawah, ujarnya.

“Berdasarkan butiran bancian, kaum Melayu merupakan yang tertinggi memerlukan pengeluaran KWSP i-Citra ini membabitkan 18,777 responden.

“Pelbagai sebab dinyatakan oleh responden untuk mengeluarkan simpanan mereka antaranya bagi menyelesaikan bebanan hutang, perbelanjaan harian, tabung kecemasan keluarga, kesihatan, pendidikan anak-anak serta membayar tunggakan ansuran rumah dan kereta,” katanya menerusi sidang media di Menara Dato’ Onn, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Azril Rizal berkata, dapatan kajian awam yang dijalankan mengenai pengeluaran KWSP berjumlah RM10,000 itu adalah tulen dan tidak berat sebelah.

Jelas beliau, Biro Penyelidikan Pemuda UMNO itu bermula sejak 2018 dan telah menjalankan pelbagai sampel kajian bermula daripada Pilihan Raya Kecil Cameron Highlands sehingga Pilihan Raya Negeri Melaka, baru-baru ini.

Justeru katanya, kajian awam yang dibuat membabitkan responden yang mahu mengeluarkan simpanan KWSP adalah tepat.

“Tugas kami hanya untuk membawa dapatan kajian yang dibuat ini kepada kepimpinan atasan, mereka yang lebih tahu keperluan rakyat di luar sana.

“Kita juga akan bawa dapatan ini kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam masa terdekat selain terdapat perancangan untuk dibentangkan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO serta pada Persidangan Agung UMNO,” ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Biro Penyelidikan Pemuda UMNO, Datuk Mohamad Nizar Najib menyifatkan para pencarum yang memerlukan pengeluaran wang dari akaun KWSP mereka adalah pencarum yang bijak dan bertanggungjawab.

Datuk Mohamad Nizar Najib. Foto HAZROL ZAINAL, 14 JANUARI 2022.

“Saya percaya mereka tahu bagaimana hendak menguruskan perbelanjaan masing-masing dan jika diberi untuk pengeluaran sebanyak RM10,000, saya percaya mereka akan gunakan sebaik-baiknya untuk kelangsungan hidup keluarga dan survival pekerjaan masing-masing.

“Kita juga perlu ingat ramai dalam kategori M40 sudah jatuh kepada kategori B40 tapi dari segi klasifikasi masih dianggap B40.

“Justeru, golongan ini lah yang memerlukan bantuan i-Citra dan saya berharap kerajaan akan mempertimbangkan semula perkara ini untuk bantu golongan yang kurang mendapat perhatian,” katanya.

Tambah Mohamad Nizar, pandemik Covid-19 yang melanda seluruh negara ketika ini adalah di luar jangkaan semua pihak.

“Jika pakai RM10,000 sekarang, RM10,000 ini boleh diisi semula mungkin dalam tempoh lima tahun akan datang, bukan hilang selama-lamanya.

“Sekarang ini tempoh luar jangka jadi perlu ambil serius keperluan mereka yang memerlukan,” ujarnya.

Sebelum ini, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki merupakan antara pemimpin yang lantang bersuara bagi memperjuangkan tuntutan pengeluaran KWSP i-Citra secara one-off sebanyak RM10,000. – MalaysiaGazette