Home Nasional Trend ‘unboxing’ isteri ibarat ‘jual bini’

Trend ‘unboxing’ isteri ibarat ‘jual bini’

Mufti Perlis, Dr. Asri Zainul Abidin.

KANGAR – Trend unboxing isteri yang menjadi ikutan para pengantin baharu, melibatkan pengantin lelaki membantu pengantin perempuan membuka tudung dirakam untuk dimuat naik ke dalam media sosial, dilihat seperti ‘menjual bini’.

Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata kemajuan teknologi yang semakin berubah menjadikan manusia mendedahkan diri sendiri sebagai satu kebanggaan dan kesombongan.

“Kebanggaan dan kesombongan untuk menunjukkan apa yang aku ada dan apa yang orang lain tiada sehingga ada yang terpengaruh dengan memuat naik kandungan unboxing isteri semata untuk mendapat like (tanda suka) yang banyak dalam media sosial.

“Kadang-kadang mereka ini membuat trend yang melampaui batas sampai mendedahkan isteri sendiri,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata berdasarkan hadis riwayat Al-Bukhari: “Nabi Muhammad SAW tidak membenarkan perempuan bercerita mengenai tubuh perempuan lain kepada suaminya kerana itu akan menaikkan syahwat suaminya terhadap perempuan lain.”

Mohd Asri juga berkata penglibatan dalam kumpulan aplikasi WhatsApp yang tidak berfaedah perlu dikurangkan.

Sementara itu, seorang penjawat awam Norhafizah Saad, 48 berkata trend unboxing tersebut dianggap kurang sopan kerana aurat isteri adalah untuk suami dan bukannya untuk menjadi bahan tontonan ramai.

“Tidak perlu untuk kongsi apa yang kita ada untuk semua orang walaupun niat asal hanya untuk berkongsi kegembiraan akhirnya seolah-olah menjual bini,” katanya.

— BERNAMA