Home Nasional Pendengaran dalam talian kekal sebahagian sistem kehakiman – Ketua Hakim Negara

Pendengaran dalam talian kekal sebahagian sistem kehakiman – Ketua Hakim Negara

Tun Tengku Maimun Tuan Mat

PUTRAJAYA – Pendengaran atau perbicaraan dalam talian bukan hanya satu cara untuk menangani pandemik COVID-19 tetapi adalah ciri kekal dalam sistem kehakiman negara, menurut Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Beliau berkata mahkamah maya kini sudah menjadi aspek yang kekal dalam sistem advokasi negara dan tiada persoalan untuk kembali kepada kaedah lama dalam mengendalikan perbicaraan secara fizikal.

“Saya katakan ‘kekal’ kerana ada yang mempersoalkan bila dan sama ada badan kehakiman akan kembali kepada perbicaraan fizikal seperti biasa. Saya ingin menjelaskan bahawa badan kehakiman sentiasa memulakan kemajuan teknologi dan pendengaran secara dalam talian atau secara maya ini, menandakan kemajuan kami ke arah ini,” katanya dalam ucapan pembukaan Tahun Undang-undang 2022 di sini hari ini.

Tengku Maimun berkata apabila pandemik itu mula menular pada Mac 2020, mahkamah terpaksa meneruskan kes dalam talian bagi mendapatkan persetujuan kedua-dua pihak, tertakluk kepada kepentingan keadilan.

Beliau berkata ini kerana tiada undang-undang permisif yang jelas menetapkan pendengaran atau perbicaraan dalam talian dibenarkan atas arahan mahkamah.

— BERNAMA