Home Nasional RM250,000 diperuntuk baik pulih Galeri Bukit Kepong

RM250,000 diperuntuk baik pulih Galeri Bukit Kepong

Menteri Dalam Negeri, Datuk Sri Hamzah Zainudin hadir melawat Galeri Bukit Kepong milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terjejas teruk akibat banjir yang melanda pada 4 Januari lalu.

KUALA LUMPUR – Galeri Bukit Kepong milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terjejas teruk akibat banjir akan dibaik pulih, kata Menteri Dalam negeri, Datuk Sri Hamzah Zainudin.

Beliau berkata, sebanyak RM250,000 diperuntukan bagi tujuan membaik pulih artifak dan bahan-bahan sejarah penting yang terjejas di galeri yang terletak di Muar, Johor itu .

Hamzah yang ditemui dalam sesi lawatan kerja di kawasan terjejas banjir di Muar berkata, banjir di negeri Johor meliputi daerah-daerah di Segamat dan Muar memperlihatkan sebagai bencana paling teruk sejak 2011.

“Pihak KDN akan meneliti jumlah aset yang perlu ditambah lagi bagi tujuan operasi banjir ini. Kita telah menambah 11 unit bot penyelamat sebelum ini, namun jumlah ini tidak mencukupi”

“Oleh itu, kementerian akan segera menyemak kembali penambahan keperluan aset taktikal dalam menghadapi gelombang akan datang,” katanya.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Sri Hamzah Zainudin hadir melawat Galeri Bukit Kepong milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terjejas teruk akibat banjir yang melanda pada 4 Januari lalu.

Ditanya tentang jumlah kerosakan fasiliti dan aset dibawah PDRM, Hamzah berkata, proses penguaditan masih dijalankan bagi menilai jumlah kos kerosakan keseluruhan.

Tambahnya, beliau akan memberi tumpuan operasi pembersihan di semua lokasi milik agensi di bawah Kementerian Dalam negeri (KDN) yang terjejas.

Jelasnya, operasi itu akan membabitkan Jabatan Bomba dan Penyelamat bagi memastikan aspek keselamatan dititik beratkan sebelum operasi pembersihan dimulakan.

Bermula 1 Januari lepas, Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) telah diaktifkan diikuti Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) dan Sub-Markas Taktikal bagi tujuan menyelaras misi bantuan mangsa banjir dalam skala yang lebih besar dan melibatkan agensi-agensi berkaitan selain menggerakan sukarelawan dalam kalangan anggota agensi-agensi di bawah KDN.

Johor merupakan antara negeri dilanda banjir besar dan kawasan yang terjejas ialah Labis, Batu Anam, Buloh Kasap, Pagoh, Tekam, Batu Badak, Bukit Kepong, Lenga dan Tangkak. – MalaysiaGazette