Home Sukan Azri milik KL City

Azri milik KL City

Azri Abdul Ghani. Foto Facebook Kuala Lumpur City.

KUALA LUMPUR – Penjaga gol skuad B-22 tahun negara, Azri Abdul Ghani sah menyertai juara Piala Malaysia 2021, Kuala Lumpur City bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim 2022.

Berita itu diumumkan oleh KL City menerusi laman media sosial rasmi pasukan itu.
Azri bakal menjadi penjaga gol kedua dibelakang penjaga gol import, Kevin Ray Mendoza Hansen.

Sebelum ini, dia dilaporkan mencapai persetujuan dengan Perak pada November tahun lalu untuk menamatkan kontraknya bersama pasukan yang tersingkir ke Liga Premier musim hadapan yang mana kontrak beliau berbaki satu tahun.

Azri dikatakan menandatangani kontrak selama dua tahun bersama skuad bimbingan Bojan Hodak dan dia dijadikan sandaran sekiranya Kevin Mendoza mendapat tawaran lain sebelum saingan Liga Malaysia bermula pada Mac ini.

Kevin menjadi salah satu nadi utama KL City dalam perjalanan mereka memenangi trofi Piala Malaysia musim lalu di mana dia menampilkan prestasi cemerlang.
Penjaga gol kacukan Filipina-Denmark itu meneruskan prestasi terbaiknya pada perlawanan akhir bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) sekaligus menyaksikan skuad warga kota memenangi perlawanan dengan keputusan 2-0.

Musim lalu, Azri menyertai Perak setelah menghabiskan saingan musim 2020 bersama Kedah Darul Aman.

Penjaga gol berusia 22 tahun itu membuat penampilan pertama dalam perlawanan Liga Super pada April yang menyaksikan Perak tewas kepada Melaka United dengan keputusan 1-0.

Masalah tunggakan gaji menyebabkan Perak mengalami krisis prestasi yang menyaksikan mereka gagal untuk tampil dengan cemerlang sekaligus tersingkir ke saingan Liga Premier musim hadapan bersama UiTM FC.

Untuk musim 2022, KL City akan beraksi dalam saingan Piala AFC dan ini menjadi peluang bagi Azri bagi menimba pengalaman untuk meningkatkan tahap permainan dimana beliau beraksi menentang pemain terbaik di Asia.

KL City dan Kedah akan menjadi wakil Malaysia dalam saingan Piala AFC manakala Johor Darul Ta’zim menjadi satu-satunya wakil negara dalam saingan AFC Champions league (ACL). – MalaysiaGazette