KUALA LUMPUR – Pihak berkuasa digesa mengambil tindakan tegas ke atas seorang lelaki yang didakwa telah mencetuskan isu perkauman menerusi sebuah video di laman Facebook miliknya baru-baru ini.
Presiden Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup Abdullah berkata, lelaki dikenali sebagai ‘Sivabalan’ telah memuat naik sebuah video berdurasi 2 minit 36 saat yang sarat dengan pelbagai kata-kata kesat.
Menurutnya, dalam video tersebut, individu terbabit telah menghina golongan ustaz, kaum Melayu serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Saya sendiri tidak mengenali siapa lelaki itu tetapi perbuataannya sudah melampaui batas, jika dia ada rasa tidak berpuas hati dengan mana-mana individu, tidak sepatutnya libatkan semua orang termasuk memaki PDRM.
“Apa motif lelaki itu berbuat demikian, hanya dia sahaja tahu tapi tugas saya adalah melaporkan kepada pihak berkuasa bagi menggesa lelaki ini disiasat dan dikenakan tindakan tegas.
“Apa yang keluar dari mulut individu itu melampau kerana ia boleh mencetuskan ketegangan kaum, berbaur hasutan serta mendatangkan kemarahan,” katanya kepada pemberita di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul hari ini.
Terdahulu, Abdul Rani bersama beberapa badan bukan kerajaan (NGO) lain hadir ke IPD Sentul bagi membuat laporan polis berhubung video yang tular di laman sosial itu.
Jelas Abdul Rani, video itu masih lagi dikongsi oleh pengguna Facebook yang lain sehingga kini, selain disebar menerusi aplikasi WhatsApp.
“Selain mahu pihak polis menyiasat lelaki ini, kita turut menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia ambil tindakan sewajarnya terhadap pemilik akaun.
“Individu seperti ini kita tidak boleh biarkan sewenang-wenangnya, ia mengganggu keharmonian negara yang penduduknya berbilang kaum,” katanya.
Sementara itu, berdasarkan carian di laman Facebook, MalaysiaGazette mendapati individu terbabit telah pun memadam video asal yang memaparkan dirinya memaki hamun pelbagai pihak.
Namun, individu itu juga telah memuat naik sebuah video penstriman langsung yang terkandung permohonan maaf. – MalaysiaGazette