KUALA LUMPUR – Petroliam Nasional Berhad (Petronas) menafikan dakwaan merancang untuk membuang 5,000 pekerja pada tahun depan.
Dalam kenyataan di laman webnya, Petronas berkata, firma itu telah melakukan kajian perniagaan pada tahun lalu dengan membabitkan 2,300 kakitangan seperti yang diumumkan.
“Pada masa ini tiada rancangan untuk melaksanakan lagi skala tersebut,” kata kenyataan itu.
Kenyataan tersebut mengulas dakwaan seorang blogger yang mendakwa syarikat minyak negara itu akan membuang 5,000 orang lagi kakitangannya.
Sebaliknya, Petronas berkata, ia komited untuk membina budaya kerja berprestasi tinggi dengan mengoptimumkan tenaga kerja dan fungsi penyelarasan berterusan yang memerlukan keupayaan dan akauntabiliti lebih tinggi serta penilaian prestasi lebih ketat dalam kalangan pekerjanya. – MalaysiaGazette