Home Nasional PPV Integrasi Axiata Arena terima sambutan memberangsangkan pada hari pertama operasi

PPV Integrasi Axiata Arena terima sambutan memberangsangkan pada hari pertama operasi

Penerima yang hadir ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Integrasi Lembah Klang untuk mendapatkan suntikan dos penggalak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Axiata Arena Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 15 JANUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Pengoperasian semula Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Integrasi di Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini, bagi penerima dos penggalak berjalan lancar pada hari pertama.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati, sambutan yang diterima oleh PPV berkenaan amat menggalakkan daripada orang ramai yang hadir berdasarkan temu janji daripada aplikasi MySejahtera yang diterima oleh mereka.

Sebanyak lima stesen disediakan bermula dengan saringan suhu badan diikuti pendaftaran penerima, konsultasi, pemberian vaksinasi dan yang terakhir stesen pemerhatian.

Penerima yang telah mendapatkan suntikan dos penggalak Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Integrasi Lembah Klang ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Axiata Arena Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 15 JANUARI 2022.

Para petugas dan sukarelawan juga dilihat memainkan peranan masing-masing dalam membantu orang ramai yang hadir serta sentiasa memberi peringatan supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Menurut Pengurus PPV Integrasi Axiata Arena, Dr. Mohd Fadhli Mohd Fauzi, sambutan yang diterima pada hari pertama beroperasi amat memberangsangkan daripada orang ramai.

Pengurus PPV Integrasi Axiata Arena, Dr. Mohd Fadhli Mohd Fauzi. Foto MOHD ADZLAN, 15 JANUARI 2022.

“Setakat tengah hari tadi lebih 3,000 penerima telah mendapatkan dos penggalak mereka dengan kapasiti yang kita sasarkan iaitu 8,000 orang pada setiap hari ini.

“Untuk pemberian dos penggalak, PPV ini dijadualkan beroperasi selama dua bulan bermula hari ini sehingga 15 Mac depan. Namun, kita hanya menerima penerima yang mempunyai temu janji sahaja dan tidak ada walk-in dibenarkan buat masa ini,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.

Tambah Mohd Fadhli, PPV itu beroperasi setiap hari bermula pada pukul 8 pagi hingga 9 malam.

Dalam masa sama, beliau turut menyeru orang ramai supaya hadir bagi mendapatkan dos penggalak setelah menerima notifikasi melalui MySejahtera.

“Jangan takut untuk terima kerana pemberian dos penggalak ini objektifnya adalah untuk kita pastikan imuniti badan kita mencukupi bagi melawan virus Covid-19,” katanya.

Sementara itu, penolong penyelidik dari Universiti Malaya, Basri Husin, 40, mengakui pada mulanya dia agak was-was untuk mendapatkan dos penggalak selepas diumumkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Namun katanya, perasaan itu hanya dirasai buat seketika kerana dia bersama isteri lebih mementingkan soal kesihatan serta keselamatan keluarga.

Petugas kesihatan memberi suntikan dos penggalak Covid-19 kepada penerima orang kurang upaya(OKU), Basri Husin yang hadir ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Integrasi Lembah Klang ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Axiata Arena Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 15 JANUARI 2022.

“Mula-mula rasa was-was dengan dos penggalak, orang pun ramai tak berapa setuju tapi itu pandangan masing-masing, kerana kami memang bersetuju untuk ambil (dos penggalak) sebagai perlindungan terutamanya saya merupakan golongan orang kurang upaya (OKU) yang mudah terdedah dengan pelbagai jangkitan atau terkesan dengan virus ini.

“Jadi saya memang yakin bahawa keputusan KKM untuk beri dos penggalak ini sebagai satu perlindungan, bukan untuk diri sahaja tetapi juga anak-anak dan orang yang berada di sekeliling,” ujarnya yang terpaksa menggunakan kerusi roda selepas mengalami kecederaan ‘spinal cord’ akibat demam panas pada 2014.

Dalam pada itu, Basri turut mengajak orang ramai terutamanya mereka yang merupakan golongan OKU untuk mendapatkan dos penggalak sebagai usaha meningkatkan lagi imuniti badan terhadap pelbagai varian membimbangkan (VOC).

Manakala bagi penolong pegawai Belia dan Sukan,  Noraini Zainudin, 38, dia tidak mempunyai masalah untuk menerima dos penggalak serta merasa amat yakin dengan saranan daripada KKM mengenai perkara tersebut.

Noraini Zainudin. Foto MOHD ADZLAN, 15 JANUARI 2022.

“Pengalaman dari dos pertama dan kedua setakat ini memang tiada masalah, jadi untuk dos penggalak saya memang tiada sebarang kerisauan kerana ini adalah untuk perlindungan keselamatan setiap individu.

“Memang kita ada dengar pelbagai spekulasi mengenai pemberian dos penggalak ini terutamanya di media sosial tetapi itu adalah pendapat masing-masing, apa yang disarankan adalah berdasarkan keperluan semasa memandangkan Covid-19 pun masih belum hilang lagi ditambah pula dengan varian baharu,” katanya.

Terdahulu, kesemua PPV Integrasi di Lembah Klang membabitkan empat lokasi iaitu PPV World Trade Centre (WTC) Kuala Lumpur, PPV Axiata Arena, PPV Ideal Convention Centre (IDCC) Shah Alam dan PPV Soka Gakkai, Klang memulakan operasi hari ini.

PPV mega itu diaktifkan semula oleh KKM bagi mempercepatkan pemberian dos penggalak kepada orang ramai. – MalaysiaGazette