Home Akhbar Cina DAP mula lihat isu “bakal ketua menteri”

DAP mula lihat isu “bakal ketua menteri”

Chan Kon Yeo
Chow Kon Yeow.

PULAU PINANG – DAP Pulau Pinang mula melihat  isu “bakal calon ketua menteri” selepas negeri itu mengehadkan tempoh seorang ketua menteri kepada hanya dua penggal.

Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga Ketua DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, partinya akan membuat keputusan yang sesuai apabila sampai masanya.

Kon Yeow bagaimanapun berkata, beliau masih mempunyai peluang untuk menjadi ketua menteri selama sepenggal lagi jika diberi mandat baharu oleh pengundi negeri itu.

Ditanya sama ada beliau cenderung menyokong calon tempatan atau ‘bidan terjun’, Kon Yeow berkata, isu itu tidak timbul kerana berdasarkan keadaan semasa, “bakal calon” merupakan pemimpin parti yang aktif  di Pulau Pinang.

“Yang pasti, kami tidak perlu menunggu hingga penggal seterusnya, tetapi kami sudah melihat isu ini pada masa ini,” katanya kepada Sinchew Daily selepas melawat pejabat akhbar tersebut.

Sebelum menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang, Kon Yeow mempunyai pengalaman selama 10 tahun sebagai Exco negeri itu, selain pernah menjadi pemimpin pembangkang.

Pengalaman tersebut, kata Kon Yeow, membolehkan beliau mempunyai kelebihan dari segi pengalaman kerja-kerja pentadbiran.

Sementara itu, Kon Yeow memberitahu Kwong Wah Yit Poh, DAP akan menghadapi pilihan raya seterusnya bersama-sama dengan rakan pakatan.

Katanya, Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang akan bertanding sebagai satu perikatan yang formal dan bukannya bertanding secara “masing-masing” .

Kon Yeow berkata, partinya akan menggunakan prestasi tiga penggal sebelum ini dan sedia ada untuk mendapat sokongan pengundi dan memastikan kestabilan politik di Pulau Pinang.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kemungkinan PH akan kecundang di Pulau Pinang selepas salah sebuah parti komponen iaitu PKR mengalami kekalahan berturut-turut di Sabah, Melaka dan Sarawak. – MalaysiaGazette