MEXICO CITY – Gempa kuat melanda Mexico tengah dengan 7.1 magnitud, mengorbankan lebih daripada 100 orang dan berpuluh-puluh bangunan runtuh.
Jumlah kematian mangsa gempa bumi itu dijangka meningkat berikutan kerja-kerja mengesan dan mencari mangsa-mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan sedang giat dilancarkan.
Bencana alam itu turut menyebabkan kerosakan di negeri Morelos dan Puebla serta Mexico.
Pusat gempa terbaharu itu bersebelahan dengan Atencingo di negeri Puebla, kira-kira 120 kilometer (75 batu) dari Mexico City, dengan kedalaman 51 kilometer, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat.
Sekurang-kurangnya 54 orang terbunuh di negeri Morelos yang terletak diselatan ibu negara dan 26 dilaporkan terbunuh di negeri Puebla.
Manakala 30 orang lagi disahkan maut di Mexico City dengan sembilan lagi di negeri Mexico.
Kira-kira dua juta penduduk di ibu negara itu mengalami gangguan elektrik dan telefon.
Peduduk juga diberi amaran agar tidak merokok di atas jalan raya kerana khuatir sesalur gas mungkin telah pecah.
Datuk Bandar Mexico Mexico Miguel Angel Mancera memberitahu rangkaian TV Televisa bahawa pasukan penyelamat sedang menjalankan kerja-kerja menyelamat di bawah runtuhan atau bangunan rosak teruk di 44 lokasi. – MalaysiaGazette