Home Nasional Kontraktor meninggal selepas 15 jam bertarung nyawa

Kontraktor meninggal selepas 15 jam bertarung nyawa

Keadaan pacuan empat roda yang dipandu mangsa selepas terlibat dalam kemalangan di di Kilometer (KM) 4.3 Jambatan Pulau Pinang dari arah Georgetown ke Perai.

SEBERANG PERAI – Selepas bertarung hampir lebih 15 jam, seorang kontraktor yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer (KM) 4.3 Jambatan Pulau Pinang dari arah George Town ke Perai, disahkan meninggal dunia semalam.

Lelaki berusia 28 tahun itu dilaporkan meninggal dunia jam 5.45 petang ketika menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ) di sini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, hasil siasatan mendapati kejadian berlaku pada jam 1.50 pagi membabitkan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang dipandu mangsa dengan sebuah Perodua Axia.

“Mangsa dikatakan melanggar bahagian belakang kereta Axia yang berada di lorong kiri menyebabkan kenderaan masing-masing berpusing sebelum melanggar batu penghadang jalan di sebelah kanan jalan.

“Akibat pelanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan parah dikejarkan ke HSJ manakala pemandu Axia berusia 38 tahun tidak mengalami kecederaan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Tambah Shafee, bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital berkenaan.

“Laporan bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan kecederaan parah di kepala.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujar Shafee. – MalaysiaGazette