SHAH ALAM – Individu yang memenggal kepala ibu kandungnya di Kampung Baru Pasir Penambang pada Sabtu lalu melakukan perbuatan kejam itu kerana tidak dapat untuk membeli dadah.
Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, berdasarkan siasatan awal suspek pada mulanya meminta wang daripada ibunya tetapi tidak diendahkan.
“Suspek dipercayai berang kerana tidak dapat mendapat wang bagi membeli dadah menjadi antara punca suspek bertindak demikian.
“Suspek juga dipercayai berada dalam pengaruh dadah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen(IPK) Selangor, hari ini.
Semalam, dilaporkan seorang wanita, 56 tahun maut selepas anaknya bertindak kejam.
Anaknya yang berusia 28 tahun itu ketika kejadian berada di rumah mereka di Kampung Baru Pasir Penambang.
Suspek sudah direman selama tujuh hari sehingga 22 Januari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.- MalaysiaGazette