KUALA LUMPUR – Pergerakan penumpang bulanan bagi kumpulan lapangan terbang Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen Istanbul (ISG) di Turki melebihi lima juta buat kali pertama bagi 2021, pada Disember.
Dalam kenyataan pada Isnin, MAHB menjelaskan, mereka mencatatkan 5.35 juta pergerakan penumpang, dengan operasi Malaysia menyumbang 3.11 juta atau 58 peratus dan ISG menyumbang 2.23 juta atau 42 peratus.
“Bagi Malaysia, pertumbuhan itu dipacu terutama oleh trafik domestik yang mencatatkan 2.8 juta penumpang, peningkatan 30 peratus daripada 2.16 juta penumpang pada November, susulan musim cuti hujung tahun yang panjang,” menurutnya.
Kenaikan tersebut didorong terutama oleh penyambungan perjalanan umrah selain pelaksanaan program Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) antara Malaysia dan Singapura, menurutnya.
Pengarah Urusan MAHB, Datuk Iskandar Mizal Mahmood berkata, permintaan yang dijana oleh program VTL, seperti yang dibuktikan apabila semua tiket penerbangan yang tersedia telah habis dijual, sekali gus menunjukkan program sedemikian akan menjadi pemangkin kepada pemulihan perjalanan udara.
“Prestasi trafik Disember 2021 kami sudah berada pada 41.6 peratus daripada tahap sebelum COVID-19.
“Peranan kami sebagai pengendali lapangan terbang adalah memastikan kami memudahkan semua SOP (prosedur operasi standard) dan proses tambahan yang diperlukan untuk perjalanan tersebut,” katanya dalam kenyataan yang sama.
MAHB sentiasa berbincang dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC); Kementerian Kesihatan (KKM); Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) serta Jabatan Imigresen bagi operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur untuk menambah baik pengalaman penumpang, katanya.
Sementara itu, seiring dengan pertumbuhan pergerakan penumpang di Malaysia, MAHB merekodkan 40,147 pergerakan pesawat pada Disember 2021, meningkat 21 peratus daripada November.
Ia menambah, penerbangan antarabangsa juga meningkat sebanyak 15 peratus kepada 6,582 penerbangan pada Disember daripada 5,732 penerbangan pada bulan sebelumnya.
Bagi ISG, ia terus merekodkan jumlah pergerakan penumpang yang konsisten melebihi dua juta sejak Jun 2021, dipacu oleh kadar vaksinasi negara itu yang tinggi dan penarikan balik perintah sekatan perjalanan antara negeri.
ISG mencatatkan 2.5 juta pergerakan penumppang pada bulan lepas, jelas MAHB. – MalaysiaGazette