Home Nasional Empat PPV Integrasi dibuka untuk warga emas mulai 19 Januari ini

Empat PPV Integrasi dibuka untuk warga emas mulai 19 Januari ini

Seramai 10,701,460 individu atau 45.7 peratus daripada populasi dewasa di negara ini menerima dos penggalak vaksin Covid-19 sehingga semalam.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Empat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) integrasi di sekitar Lembah Klang kini menawarkan pemberian vaksinasi dos penggalak kepada warga emas secara jumpa terus (walk-in) bermula 19 Januari ini.

Menerusi satu kenyataan Kementerian Kesihatan (KKM), antara lokasi yang terlibat iaitu PPV World Trade Centre Kuala Lumpur, Axiata Arena Bukit Jalil, Ideal Convention Centre Shah Alam dan Soka Gakkai di Klang.

Keempat-empat PPV integrasi itu telah beroperasi di Lembah Klang sejak 15 Januari lalu bagi meningkatkan kapasiti pemberian vaksinasi dos penggalak pada semua peringkat umur.

“Buat masa ini temujanji di PPV Intergrasi di Lembah Klang akan diberikan kepada individu yang telah menerima dos lengkap AstraZeneca atau Sinovac untuk diberikan dos penggalak vaksin AstraZeneca.

“Bermula 19 Januari ini, vaksin Pfizer juga akan dibekalkan di PPV tersebut khususnya bagi individu tertentu seperti ibu hamil yang telah menerima temujanji atau individu yang mempunyai kontraindikasi terhadap vaksin AstraZeneca,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jadual 1 : Lokasi PPV Integrasi di Lembah Klang bagi perkhidmatan vaksinasi secara walk-in kepada warga emas.

Tambah KKM, warga emas yang ingin hadir secara jumpa terus diminta agar membawa sijil vaksinasi digital yang lengkap di dalam MySejahtera bagi melancarkan proses vaksinasi dan boleh merujuk jadual operasi PPV yang telah ditetapkan.

“Sehingga 16 Januari lalu, liputan vaksinasi dos penggalak bagi warga emas berumur 60 tahun dan ke atas di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka, Pulau Pinang dan Sarawak telah mencapai lebih 70 peratus.

“Susulan itu, warga emas berumur 60 tahun dan ke atas yang telah menerima dos lengkap selepas tempoh 3 bulan daripada dos terakhir, adalah layak untuk menerima dos penggalak,” ujarnya.

Dalam pada itu, PPV Offsite di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka, Pulau Pinang dan Sarawak turut sama melaksanakan perkhidmatan vaksinasi secara jumpa terus kepada individu berusia 60 ke atas mulai 24 Januari ini.

KKM memaklumkan, senarai lengkap PPV Offsite yang terlibat akan diumumkan oleh pihak ProtectHealth Corporation.

Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Booster (PICK-B) telah dilaksanakan sejak 13 Oktober 2021 sebagai langkah kerajaan mengawal penularan jangkitan baharu Covid-19.

Sehingga 16 Januari lalu, seramai 9,364,326 atau 40 peratus populasi rakyat Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas telah menerima dos penggalak. – MalaysiaGazette.