KUALA LUMPUR – Kenyataan Timbalan Parti Amanah Negara (PAN) Datuk Seri Salahuddin Ayub mengancam untuk menarik balik sokongannya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri jika Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan di Johor menarik minat Datuk Seri Khaled Nordin.
Naib Presiden UMNO itu berkata, pembangkang seperti takut untuk menghadapi PRN Johor bersandarkan kepada kekalahan teruk di PRN Melaka dan Sarawak baru-baru ini.
“Ugutan YB (Salahuddin Ayub) sebenarnya bukan demi kepentingan rakyat. Tetapi kerana PAN takut menghadapi pilihan raya dan menerima kekalahan. Kekalahan PH (Pakatan Harapan) dalam PRN Melaka dan Sarawak telah sangat menghantui PH.
“Sama ada perlu atau tidak PRN Johor, terpulang kepada budi bicara Kerajaan Negeri Johor dan Istana Johor. Segala ugutan dan ancaman dari PH bukan faktor penentu untuk membubar PRN.
“Dan jika PH menarik sokongan terhadap Perdana Menteri, BN akan bersedia untuk menghadapi PRU dan membentuk Kerajaan baru tanpa perlu sokongan PH insyallah,” katanya dalam satu kenyataan.
Spekulasi PRN akan diadakan di Johor rancak diperkatakan selepas kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas daripada Parti Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Osman Sapian bulan lepas.
Pentadbiran Perikatan Nasional (PN) di Johor ketika ini menguasai negeri itu dengan majoriti satu kerusi, hanya 28 kerusi berbanding Pakatan Harapan (PH) 27 kerusi.
Mengulas lanjut, bekas Menteri Besar Johor itu berkata, ugutan yang dilemparkan Salahuddin maka PRN Johor perlu diadakan segera.
Ini kerana adalah menjadi tanggungjawab kerajaan negeri untuk mengembalikan mandat kepada rakyat bagi memastikan kerajaan yang dipilih kelak adalah kerajaan yang kukuh dan stabil.
“Inilah sebenarnya tanggungjawab. Kita mesti mengembalikan mandat kepada rakyat apabila kerajaan berada dalam kedudukan yang terlalu rapuh dan tidak stabil. Bukannya terus menerus berkeras bahawa kita mempunyai kuasa apa lagi bila terpaksa meminta sokongan pembangkang.
“Beranggapan bahawa tanggungjawab dan fokus terhadap kebajikan rakyat akan terabai hanya kerana berlakunya PRN juga sangat salah,” katanya lagi.
Untuk rekod, ketika ini kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad dalah terdiri daripada UMNO (14), MIC (dua), Pas (satu) dan PPBM (11) manakala pembangkang terdiri daripada DAP (14), PAN (enam) dan PKR (tujuh). – MalaysiaGazette