Home Utama Kerajaan perlu nyata pendirian keputusan mahkamah batal kenaikan tahunan pesara

Kerajaan perlu nyata pendirian keputusan mahkamah batal kenaikan tahunan pesara

Sekitar Majlis Hari Bersama Persara Polis, Bekas Polis dan Petugas Kontinjen KL di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 17 FEBRUARI 2021.

KUALA LUMPUR –  Kerajaan diminta menyatakan pendiriannya ekoran keputusan Mahkamah Rayuan yang memutuskan untuk membatal kenaikan tahunan dua peratus ke atas pencen dan mengembalikan semula peruntukan pencen terdahulu yang diselaraskan seiring dengan sebarang semakan gaji pada 13 Januari lalu.

Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) menyifatkan keputusan tersebut sesuatu yang “mengejutkan dan luar biasa dalam landskap buruh dan pekerajaan di negara ini.

Ini kerana kerajaan telah membayar kenaikan tahunan dua peratus sejak peruntukan baharu itu dikuatkuasakan pada tahun 2013.

”Oleh itu, adakah kerajaan akan mengkaji semula kadar dua peratus itu dan akan datang dengan satu kadar yang baharu? Adakah Kerajaan akan menghentikan serta-merta
kenaikan dua peratus yang sedang dikuatkuasakan? Jika ia dihentikan serta-merta apakah impak ke atas para pesara?,” soal presidennya, Datuk Mohamed Shafie BP Mammal.

Menurutnya, sebagai sebuah badan kesatuan sekerja yang terus memperjuangkan kadar pencen yang dinamik, adil dan relevan mengikut keadaan semasa, UNI-MLC berharap kerajaan dengan segera akan mengeluarkan satu kenyataan rasmi ekoran keputusan Mahkamah Rayuan pada minggu lalu.

Untuk rekod, Panel Mahkamah Rayuan, terdiri daripada Vazeer Alam, Abu Bakar Jais dan Darryl Goon JJCA, menyampaikan keputusan sebulat suara pada 13 Januari 2022, antara lain ia memutuskan bahawa: perisytiharan bahawa Seksyen 3 dan 7 Akta Pelarasan Pencen (Pindaan) 2013 adalah tidak sah kerana melanggar Perkara 147 Perlembagaan Persekutuan.on.org;

Satu pengisytiharan bahawa Seksyen 3 dan 6 Akta Pelarasan Pencen 1980 sebagaimana yang dipinda oleh seksyen 3 dan 7 Akta Pelarasan Pencen (Pindaan) 2013 dan berkuat kuasa sejak 1.1.2013 adalah tidak sah kerana melanggar Perkara 147 Persekutuan Perlembagaan.

Perintah pengisytiharan di atas berkuat kuasa secara prospektif mulai 13 Januari 2022.

UNI-MLC mendakwa majoriti pesara turut terkejut dengan keputusan Mahkamah Rayuan itu dan berada dalam keadaan dilema sama ada kadar pencen mereka akan terjejas dan kemungkinan akan ditarik balik.

Oleh itu, UNI-MLC juga mahu mengetahui sama ada kerajaan akan membuat rayuan berhubung keputusan mahkamah.

Sementara banyak isu timbul dan dibangkitkan ekoran keputusan Mahkamah Rayuan, maka adalah wajar kerajaan mengeluarkan satu pandangan bagi menjelaskan isu ini. – MalaysiaGazette