Home Nasional Beri keadilan kepada Azam Baki sama seperti Najib – Pemuda PAN

Beri keadilan kepada Azam Baki sama seperti Najib – Pemuda PAN

Pengarah Mobilisasi Pemuda Amanah, Abbas Azmi bercakap pada sidang media berkenaan Menuju Demonstrasi Aman #TangkapAzamBaki di Wisma Amanah Nasional, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 18 JANUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Pemuda Parti Amanah Negara (PAN) menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi keadilan kepada Tan Sri Azam Baki sama seperti Datuk Seri Najib Razak bagi membersihkan namanya berhubung isu pemilikan saham.

Pengarah Mobilisasi Pemuda Amanah Nasional, Abbas Azmi berkata, pihaknya tidak mahu dilihat mendesak secara membuta-tuli tanpa melalui proses perundangan di negara ini.

“Sebab itu kalau dapat rehatkan Azam Baki, dapat tangkap Azam Baki, kita mahu siasatan yang adil kepada Azam Baki.

“Kita tak mahu semborono begitu mengambil tindakan kepada dia.

“Lakukan keadilan ke atas dia, berilah keadilan kepada dia seperti mana yang berlaku ke atas Datuk Seri Najib atas isu 1MDB dan SRC,” katanya pada sidang media di Wisma Amanah Negara di sini, hari ini.

Semalam, Timbalan Presiden Amanah, Datuk Salahuddin Ayub dan Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar menyerahkan memorandum kepada Pejabat Perdana Menteri mendesak siasatan segera dijalankan ke atas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berhubung isu pemilikan saham bernilai jutaan ringgit.

Abbas juga berkata, walaupun Azam mempunyai kedudukan yang tinggi dalam agensi kerajaan tiu, namun beliau tidak terlepas daripada tindakan undang-undang jika bersalah.

“Kita mahu Azam Baki diadili dari segi undang-undang dan tidak terlepas daripada tindakan undang-undang di negara ini walaupun dia seorang ketua Pesuruhjaya SPRM,” katanya.

Katanya lagi, jika sesuatu tindakan tidak diambil, Pemuda PAN khuatir kredibiliti Kerajaan Keluarga Malaysia terus tercalar di mata masyarakat dunia.

“Azam Baki itu adalah simbol kepada masalah negara kita menyebabkan negara luar memandang Malaysia bukan lagi sebuah negara hebat tapi penuh dengan segala masalah.

“Azam Baki adalah simbol kepada kerosakan negara kita hari ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette