ROMPIN – Kerajaan negeri membelanjakan RM10 juta bagi membangunkan program pemberian Kad Kesihatan Warga Emas Pahang yang bakal memberi manfaat kepada 18,000 penerima bermula hari ini.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kad tersebut juga dikenali Kad Kesihatan Kebanggaan Pahang (Pahang Pride Kasih) boleh digunakan di klinik swasta seluruh negeri yang dilantik sebagai panel di bawah program tersebut.
Melalui pelan kad tersebut, pemegang kad memenuhi syarat dan berkelayakan boleh menerima rawatan prosedur am dan rawatan awal di klinik panel yang dilantik.
“Sebanyak 50 klinik swasta telah dikenal pasti dan dilantik sebagai panel seluruh negeri bagi memudahkan pemegang kad itu mendapat rawatan di klinik berhampiran.
“Untuk itu seramai 9,009 penerima Bantuan Orang Tua (BOT) Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Pahang bakal menerima kad itu untuk fasa pertama.
“Manakala dalam senarai fasa kedua yang dijangka akan menerima manfaat itu bermula 1 Mac depan membabitkan seramai 8,991 penerima,” katanya.
Wan Rosdy berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan kad kesihatan itu di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahamd Shah di sini hari ini.
Wan Rosdy berkata, pemberian kad kesihatan ini sebagai satu alternatif dan pelengkap kepada perkhidmatan rawatan sedia ada dan akan terus mengkaji dan menilai semula pelaksanaan inisiatif ini untuk ditambah baik pada masa akan datang
“Kerajaan selama ini telah menyediakan perkhidmatan perubatan hampir percuma di semua hospital dan klinik kerajaan kepada setiap lapisan masyarakat termasuk warga emas,” katanya. – MalaysiaGazette