Home Sukan Nasir tak sabar beraksi dengan PJ City

Nasir tak sabar beraksi dengan PJ City

Nasir Basharudin. Foto Facebook PJ City.

KUALA LUMPUR – Pemain tengah baharu PJ City FC, Nasir Basharudin mahu raih pengalaman baharu bersama pasukan yang menggunakan khidmat pemain tempatan sepenuhnya selain ingin merebut tempat utama lebih kerap pada musim ini.

Bagi Nasir, ia akan menjadi pengalaman yang berbeza apabila hanya bersaing dengan pemain-pemain tempatan sahaja untuk mendapatkan tempat dan tidak sesekali memandang rendah terhadap kemampuan rakan sepasukan yang pastinya akan memberi perebutan sengit.

Namun, pemain berusia 32 tahun ini percaya apa yang telah dipelajari selama dua musim bersama Terengganu FC sebelum ini membantunya menggunakan kudrat yang ada membantu pasukan meraih kedudukan lima terbaik di pentas Liga Super.

“Sebab utama saya di sini (PJ City FC) kerana ingin meraih sesuatu kerana ini adalah kali pertama saya dapat merasa beraksi dengan semua pemain tempatan.

“Jika sebelum ini bersaing tempat dengan pemain import, sekarang agak berbeza sebab pemain tempatan juga tidak kurang hebatnya dan saya akan pastikan prestasi saya akan lebih baik berbanding musim lepas.

“Kalau dekat Terengganu, kami banyak fokus kepada aspek penguasaan bola, cara bermain, tetapi di PJ City saya lihat kami turut menumpukan kepada aspek fizikal sebab kita tahu pasukan akan menentang lawan yang ada pemain import.

“Jadi, sebab itu fizikal kami juga sangat penting untuk memastikan pasukan bukan sahaja kuat daripada segi corak bermain, tetapi tahap kecergasan juga memainkan peranan,” katanya.

Nasir ditemui pada Majlis Memperkenalkan Pemain Baharu PJ City FC semalam.

Enam lagi pemain baharu turut diumumkan bagi memperkuatkan skuad kendalian P. Maniam iaitu penjaga gol, Azfa Arif Mohd Sukri, R. Aroon Kumar, R. Barathkumar, S. Kumaahran, Marcus Mah dan Shivan Pillay Asokan.

Maniam dalam sesi sidang media turut menjelaskan kehadiran pemain seperti Kumaahran dapat membantu di bahagian serangan dengan lebih kuat apabila sebelum ini taruhan utama diletakkan ke atas penyerang, Darren Lok sebelum dia dihimpit kecederaan.

“Sebenarnya kalau kita tengok hanya Kumaahran yang kita bawa untuk berada di bahagian serangan.

“Jadi dalam pasukan ini, kita ada Mahali Jasuli, Khyril Muhymeen, Darren dan pemain muda juga seperti Sunil Chandran di mana saya percaya adanya Kumaahran akan dapat membantu dalam serangan kali ini,” jelasnya.

PJ City pada musim lalu menamatkan saingan Liga Super 2021 di tangga ketujuh dan kali ini mensasarkan untuk berada di tangga kelima terbaik pada musim 2022. – MalaysiaGazette