Home Nasional TUDM laksana misi penghantaran bahan api ke menara komunikasi Gunung Telapak Burok

TUDM laksana misi penghantaran bahan api ke menara komunikasi Gunung Telapak Burok

Foto: TUDM
JELEBU – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menerusi No. 10 Skuadron menghantar bekalan bahan api ke menara telekomunikasi Telekom Malaysia Berhad (TM) yang terletak di Gunung Telapak Burok dengan menggunakan helikopter, EC 725 AP.
Menurut TUDM, bencana alam yang melanda baru-baru ini telah mengakibatkan tanah runtuh di beberapa kawasan dan menyebabkan laluan darat untuk menaiki ke kawasan tersebut terputus hubungan.
“Walaupun dengan keadaan cuaca dan angin yang tidak menentu, operasi selama dua hari yang diketuai oleh Pegawai Memerintah No 10 Skuadron, Lt. Kol. Muhammad Fazri bin Md Zin TUDM telah berjaya melaksanakan 13 sortie penerbangan dengan menghantar sebanyak 41,600 kilogram bekalan bahan api ke menara telekomunikasi tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Foto: TUDM
Tambahnya, penghantaran itu adalah usahasama di antara Majlis Keselamatan Negara, Platun Hantaran Udara 10 Briged PARA, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, TM serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
Menurut kenyataan itu, misi penghantaran bahan api itu dimulakan dengan penerbangan ke Sekolah kebangsaan (SK) Sri Pantai terlebih dahulu iaitu lokasi pendaratan dan pengambilan bagi tempat pengumpulan bahan api.
Katanya, seramai 16 kakitangan TM, enam anggota Platun Hantaran Udara 10 Briged dan tujuh anggota bomba telah dihantar menggunakan kaedah hoisting ke puncak Gunung Telapak Burok sebagai kumpulan awal bagi penerimaan bahan api tersebut.
“Penghantaran setiap bahan api tersebut telah dilaksanakan menggunakan kaedah cargo sling ke puncak gunung tersebut yang berketinggian 3,780 kaki dari aras laut,” ujarnya.
Menurut kenyataan itu, sebagai organisasi di bawah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang turut terlibat sebagai barisan hadapan, TUDM sentiasa memberikan komitmen yang tinggi dan bersiap sedia sebilang masa untuk melaksanakan tanggungjawab serta amanah yang perlu. – MalaysiaGazette