Home Utama 11 pelajar kolej vokasional di Jasin pula positif Covid-19

11 pelajar kolej vokasional di Jasin pula positif Covid-19

Kolej Vokasional Datuk Seri Abu Zahar Isnin Vocational College Jasin Melaka cluster Covid-19

JASIN – Sebelas pelajar perempuan Kolej Vokasional Datuk Seri Abu Zahar Isnin, Jasin disahkan positif Covid-19, sekaligus mewujudkan kluster pendidikan asrama terbaharu di negeri ini.

Exco Kesihatan dan Antidadah negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, ia susulan jangkitan kes positif pertama terhadap pelajar perempuan berusia 16 tahun yang bergejala pada 12 Januari lalu sebelum merebak kepada 10 rakan sebiliknya setakat semalam.

Menurutnya, 11 individu yang positif virus itu adalah hasil saringan terhadap 70 kontak rapat kes pertama sebelum 26 disahkan negatif dan 33 lagi masih menunggu keputusan ujian.

“Ini menjadikan kolej vokasional (KV) di Jasin ini kluster terbaharu selepas KV di Melaka Tengah juga merekodkan kluster baharu semalam selepas 76 pelajarnya positif Covid-19.

“Setakat ini, KV di Jasin ini masih dibuka, namun berkemungkinan juga ianya akan ditutup sekiranya jumlah pelajar yang positif semakin meningkat,” katanya pada sidang media di Japerun Merlimau, Lipat Kajang, di sini, hari ini.

Ditanya, apakah kedua-dua KV itu mempunyai kaitan jangkitan, Muhamad Akmal menafikannya memberitahu, siasatan awal tidak menolak kemungkinan ia adalah kes sporadik.

“Kita masih menyiasat, namun setakat ini kita percaya punca jangkitan mungkin disebabkan kes sporadik.

“Walaupun KV di Jasin tidak ditutup, semua 536 pelajar dan kakitangan akan dikuarantin dan dipakaikan gelang pangawasan sehingga 23 Januari ini,” katanya.

Terdahulu media hari ini melaporkan seramai 76 pelajar sebuah Kolej Vokasional Melaka Tengah, Bukit Katil dikesan positif Covid-19 yang dipercayai berpunca daripada ketidakpatuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP).

Susulan itu, institusi pendidikan berkenaan telah diarah tutup sejak 14 Januari lalu sehingga Jumaat ini selepas diisytiharkan sebagai Kluster Jalan Tun Telani oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bermula semalam. – MalaysiaGazette