KUALA LUMPUR – Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) telah mengambil tindakan menurunkan papan tanda Jalan Dana Permai, Semenyih dekat sini yang memaparkan tulisan Jawi ‘terbalik’ selepas menerima kritikan dari pengguna media sosial.
Menerusi hantaran di laman rasmi Facebook, MPKj memaklumkan pihaknya telah menanggalkan semula papan tanda itu dan turut berterima kasih kepada penduduk yang membuat aduan.
“Pihak MPKj telah mengambil tindakan berkaitan gambar papan tanda yang tular dan telah menanggalkan semula papan tanda tersebut. Terima kasih kepada penduduk yang telah membuat aduan,” katanya.
Dalam hantaran yang sama, MPKj turut memuat naik dua keping gambar menunjukkan papan tanda tersebut telah pun dicabut dari tiang berkenaan.
Terdahulu, sebuah akaun Twitter berkongsi sekeping gambar papan tanda yang memaparkan nama jalan bertulisan Jawi namun ia dalam keadaan terbalik.
“Majlis Perbandaran pun buat kerja cincai sambil lewa je ke? Asal nampak huruf Jawi sudahlah, boleh baca ke tidak belakang kira?,” ciapnya. – MalaysiaGazette