KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi Syariah di sini telah membenarkan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad berpoligami selepas beliau bersetuju menunaikan hak-hak yang telah dikemukakan oleh isterinya sebelum ini.
Keputusan itu dibuat semalam oleh Hakim Abdul Halim Abdullah dengan membenarkan pembelaan isteri Khalid, Dr. Zaiton Abu Bakar bagi penyelesaian secara baik.
Penyelesaian secara baik telah dijalankan di hadapan hakim dan juga Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam yang telah bersetuju untuk memberikan sebuah rumah banglo diduduki mereka sekarang bersama sebuah penthouse yang mana kedua-duanya terletak di Shah Alam ditukar kepada Dr Zaiton.
Menurut peguam dari Tetuan Asri Musa & Co yang mewakili Zaiton, Nurfarhana Abd Manaf anak guamnya mengarahkan untuk berbincang secara baik dengan Khalid bagi memastikan hak-hak sebagai isteri pertama ditunaikan.
“Kita telah membuat satu perjanjian persetujuan Khalid dengan defendan antaranya adalah nafkah isteri direkod dan diputuskan di hadapan hakim. Plaintif bersetuju hendak berikan sebuah rumah banglo diduduki mereka sekarang bersama sebuah penthouse yang mana kedua-duanya terletak di Shah Alam ditukar kepada Dr Zaiton.
“Juga sebuah kereta jenis Proton X70 yang sedang digunakan bersama-sama elaun tambahan kad kredit kepada defendan. Dalam perjanjian itu turut direkod nafkah bakal isteri juga akan diberikan,” katanya mengikut laporan media pagi ini.
Semua pertukaran nama terhadap hartanah-hartanah itu akan dilakukan sejurus selepas selesai ansuran sewa beli kelak.
Sebelum ini, pada 8 Disember lepas, Dr Zaiton telah memfailkan pembelaan dan tuntutan balas terhadap permohonan poligami oleh suaminya di Mahkamah Tinggi Syariah sebelum Pendaftar Mahkamah, Norbyetty Mohd Nasir membenarkannya dan menetapkan sebutan semula pada 20 Disember lalu.
Khalid bagaimapun ketika dihubungi media enggan mengulas tentang perkara itu. – MalaysiaGazette