Home Utama Penjualan tiket VTL Malaysia-Singapura dibuka semula hari ini

Penjualan tiket VTL Malaysia-Singapura dibuka semula hari ini

Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Penjualan tiket bas dan penerbangan untuk Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) Malaysia-Singapura dibuka semula berkuatkuasa hari ini.

Bagaimanapun Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, kuota tiket dijual dikurangkan 50 peratus daripada kapasiti bas dan penerbangan.

Menurutnya, penumpang yang telah pun membeli tiket bagi tarikh perjalanan selepas Khamis iaitu sebelum pengumuman dibuat dibenarkan meneruskan perjalanan walaupun melebihi kuota.

“Susulan penilaian risiko yang dilaksanakan berdasarkan situasi Covid-19 semasa di kedua-dua negara, Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan bahawa penjualan tiket bas dan penerbangan bagi kedua-dua inisiatif VTL ini (darat serta udara) adalah dibuka semula berkuatkuasa serta merta,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Khairy, garis masa berhubung peningkatan kuota jualan tiket bergantung kepada penilaian risiko kedua-dua negara yang akan dilakukan oleh KKM dari semasa ke semasa.

Jelasnya, pengembara yang menggunakan platform VTL Malaysia-Singapura adalah diingatkan mengenai keperluan untuk melaksanakan ujian RTK-Ag atau ujian pantas antigen (kendiri) pada hari ke-2, ke-4, dan ke-6 selepas ketibaan.

Selain itu, pengembara perlu melakukan ujian RTK-Ag atau ujian pantas antigen (professional) pada hari ke-3 dan ke-5 selepas ketibaan.

Sebagai rekod, pada 22 Disember 2021, KKM menggantung sementara penjualan tiket bas dan penerbangan untuk VTL Malaysia-Singapura berkuatkuasa sepanjang tempoh 23 Disember 2021 sehingga 20 Januari 2022.- MalaysiaGazette