Home Ekonomi Fasa Satu laluan MRT Putrajaya masih jalani pembetulan – MRT Corp

Fasa Satu laluan MRT Putrajaya masih jalani pembetulan – MRT Corp

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Jajaran fasa satu bagi Laluan Transit Aliran Massa (MRT) Putrajaya masih menjalani beberapa pembetulan yang dilakukan oleh kontraktor siap guna sebagai persediaan untuk operasi penuh, menurut MRT Corporation Sdn Bhd (MRT Corp).

Dalam kenyataan menerusi e-mel kepada Bernama pada Jumaat, MRT Corp menjelaskan pihaknya akan membuat pengumuman mengenai tarikh pembukaan operasi kemudahan itu sebaik sahaja pembetulan berkenaan siap dilaksanakan.

Pada 16 Nov, 2021 Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Mohd Zarif Hashim berkata, laluan tersebut dijangka sedia memberi perkhidmatan kepada orang ramai pada suku kedua 2022.

Sebelum pengumuman itu, MRT Corp telah menangguhkan tarikh permulaan operasi di jajaran fasa satu bagi Laluan MRT Putrajaya dari Ogos kepada pertengahan November 2021.

Percubaan operasi bagi jajaran fasa satu itu telah dijalankan sejak 29 April, 2021.

Sebanyak 16 tren telah beroperasi di antara Stesen MRT Kwasa Damansara dengan Stesen MRT Kampung Batu dalam mod perkhidmatan penuh namun tanpa penumpang sebagai simulasi operasi sebenar.

Laluan MRT Putrajaya (dahulunya dikenali sebagai Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya) sepanjang 56.2 kilometer dan mempunyai 36 stesen bagi jajaran fasa satu dan dua, bermula dari stesen Kwasa Damansara ke Putrajaya.

“Sementara itu, pembinaan jajaran fasa dua Laluan MRT Putrajaya juga mencatatkan kemajuan yang baik,” menurut MRT dalam kenyataan yang sama.

Sehingga 4 Okt, 2021, pembinaan jajaran fasa dua telah 93.52 peratus siap, dan dijangka mula beroperasi pada Januari 2023. – MalaysiaGazette