WINNIPEG – Seorang lelaki dari Florida, Steve Shand, 47, didakwa semalam atas tuduhan penyeudupan manusia selepas mayat empat termasuk seorang bayi dan seorang remaja ditemui berhampiran sempadan Amerika Syarikat (AS) dan Kanada.
Pihak berkuasa percaya punca kematian disebabkan kegagalan cubaan menyeberang sempadan semasa ribut salji.
Pejabat Peguam AS Daerah Minnesota berkata, Shan telah didakwa dengan kes penyeludupan manusia selepas tujuh warga India ditemui di AS dan penemuan mayat tersebut.
Menurut laporan akhbar ABC News, dokumen mahkamah yang difailkan pada hari Rabu lalu bagi menyokong penahanan Shand mendakwa, salah seorang daripada mereka membelanjakan sejumlah besar wang untuk datang ke Kanada dengan visa pelajar palsu.
“Siasatan ke atas kematian empat individu di Kanada sedang berjalan bersama-sama dengan penyiasatan terhadap operasi penyeludupan manusia yang lebih besar di mana Shand disyaki menjadi sebahagian daripadanya,” kata John Stanley, ejen khas Penyiasatan Keselamatan Dalam Negeri dalam dokumen mahkamah.
Menurut dokumen itu, Peronda Sempadan AS di Utara Dakota menghentikan sebuah van yang dinaiki 15 penumpang di selatan sempadan Kanada pada hari Rabu.
Shand memandu van terbabit dan dia bersama dua warga India yang juga pendatang tanpa izin.
Pada masa yang sama, dokumen mahkamah berkata, lima orang lagi dikesan oleh penguat kuasa undang-undang dalam salji berhampiran.
Kumpulan itu yang juga ada warga India memberitahu pegawai bahawa mereka telah berjalan selama lebih 11 jam dalam keadaan sejuk.
Malah seorang daripada wanita dalam kumpulan itu terpaksa berhenti bernafas beberapa kali ketika dia dalam perjalanan ke hospital.
Dokumen mahkamah juga mengatakan dia memerlukan pemotongan sebahagian daripada tangannya.
Seorang lelaki juga dimasukkan ke hospital kerana radang tetapi kemudiannya dibenarkan keluar.
Penolong Pesuruhjaya RCMP, Jane MacLatchy memberitahu sidang akhbar di Winnipeg sebaik sahaja dimaklumkan, para pegawainya segera memula pencarian di kawasan itu.
Selepas pencarian pegawai berjaya menemui tiga mayat bersama iaitu seorang lelaki, seorang wanita dan seorang bayi.
Kesemuanya berada hanya 10 meter dari sempadan berhampiran Emerson, Man.
Pencarian diteruskan dan seorang remaja lelaki ditemui tidak jauh dari situ dan dipercayai mati akibat terdedah kepada cuaca sejuk.
“Mereka memakai pakaian musim sejuk tetapi ia tidak mencukupi untuk menyelamatkan mereka dalam keadaan beku,” kata MacLatchy.
“Mangsa ini bukan sahaja menghadapi cuaca sejuk tetapi juga padang yang tidak berkesudahan, salji yang besar dan kegelapan,” tambah MacLatchy.
Shand telah ditangkap pada hari Rabu lalu dan kini masih kekal dalam tahanan.
Pihak berkuasa AS mendakwa bahawa Shand berkemungkinan terlibat dalam lintasan sempadan lain termasuk dua insiden baru-baru ini pada bulan Disember.
Pada Disember lalu, dua lelaki kehilangan jari akibat radang dingin yang teruk selepas terperangkap dalam ribut salji semasa berjalan dari AS ke Manitoba.
Beberapa bulan kemudian, seorang wanita meninggal dunia akibat hipotermia berhampiran sempadan di sebelah AS.
Pada 2019, seorang wanita hamil yang berjalan melintasi sempadan diselamatkan selepas dia terperangkap dalam tebing salji dan melahirkan anak.-ABC News