Home Ekonomi Kerajaan Persekutuan perhalusi cadangan pembangunan Melaka

Kerajaan Persekutuan perhalusi cadangan pembangunan Melaka

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed (kanan) mengatakan sesuatu dengan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali pada Konvensyen Hala Tuju Perancangan Pembangunan Negeri Melakadan Sesi Roadshow Pasca Rancangan Malaysia ke Dua Belas di DoubleTree By Hilton, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 21 JANUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Kerajaan Persekutuan akan memperhalusi permohonan yang dibuat oleh Kerajaan Negeri Melaka berhubung beberapa cadangan pembangunan yang hendak dilaksanakan di negeri itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed herkata, pihaknya mengambil perhatian cadangan-cadangan yang dibentangkan oleh beberapa jabatan kerajaan negeri berkenaan melibatkan projek-projek ikonik yang dijangka boleh merancakkan lagi ekonomi dan sumber pendapatan negeri tersebut.

Bagaimanapun katanya, cadangan itu perlu diteliti di peringkat teknikal terlebih dahulu sebelum dibawa ke peringkat yang lebih tinggi.

“Antara projek ikonik yang hendak diterjemahkan adalah coastal highway (lebuh raya pantai) sepanjang lebih kurang 52 kilometer.

“Kerajaan Melaka juga minta diberi perhatian supaya cadangan Melaka Waterfront Economic Zone yang sudahpun dibentangkan kepada Majlis Fizikal negara.

“Jadi. Ketua Pengarah EPU (Unit Perancang Ekonomi) akan membincangkan mengenai perkara itu macam mana hendak menghalusinya lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas program libat urus Hala Tuju Perancangan Pembangunan Negeri Melaka dan Roadshow Unit Perancangan Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri Bersama Kerajaan Negeri Melaka, di sini hari ini.

Hadir sama pada program berkenaan, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Mengulas lanjut Mustapa berkata, permohonan kerajaan Melaka itu telahpun dimaklumkan ke pengetahuan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, hampir keseluruhan tempat di Malaysia akan memiliki konsep berasaskan koridor sekiranya permohonan Kerajaan Melaka itu terlaksana.

“Ini merupakan permohonan negeri Melaka…jadi apa yang kita akan buat adalah kita perhalusi cadangan ini.

“Yang lain-lain sektor pelancongam. Pelancongan ini sektor yang penting dan alhamdulillah ada beberapa insentif yang disediakan oleh kerajaan melalui pakej-pakej rangsangan ekonomi ada lapan kesemuanya,” ujarnya.

Sementara itu, Sulaiman pada sidang media sama memaklumkan, kerajaan negeri memerlukan peruntukan berjumlah RM10 bilion sekiranya mahu merealisasikan segala cadangan yang dilaksanakan.

Katanya, banyak perkara telahpun dirancang oleh kerajaan negeri dan disebabkan itu dana yang diperlukan berbeza daripada negeri lain kerana ekonomi Melaka perlu dirancakkan menerusi sektor pelancongan.

“Sektor pelancongan di Melaka pula bukan sahaja perlu dirancakkan pada cuti hujung minggu tetapi ia perlu diperhebatkan pada hari-hari biasa.

“Kalau kita minta memang banyaklah…dari segi tebatan banjir sahaja sudah lebih RM1 bilion.

“Jadi, kita mengharapkan agar cadangan-cadangan ini dapat diterima oleh pusat namun, ia bergantung kepada keutamaan-keutamaan yang akan diberi tumpuan,” ujarnya. – MalaysiaGazette