MEXICO – Tiga warga Kanada ditembak dan seorang maut kerana pertelingkahan dalam kalangan tetamu di resort hotel berhampiran Cancún, Mexico.
Menurut pegawai keselamatan tempatan, kejadian itu berlaku pada Jumaat di Hotel Xcaret Mexico di bandar pelancongan Playa del Carmen.
Ketiga-tiga mangsa dibawa ke hospital di mana seorang meninggal dunia.
Penyerang itu, seorang tetamu hotel dikatakan masih bebas dan pemburuan sedang dijalankan.
Gambar kamera litar tertutup menunjukkan penyerang memakai pakaian sukan berwarna biru muda dan dalam satu rakaman itu dia kelihatan memegang pistol.
Berdasarkan video yang sama menunjukkan kejadian itu berlaku berhampiran ruang makan luar.
Seorang jurucakap kementerian luar Kanada memberitahu BBC, negaranya mengetahui laporan ada warga Kanada telah terjejas oleh insiden di Mexico.
Terdapat beberapa serangan yang membimbangkan terhadap pelancong asing di rantau Maya Riviera sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
Sebelum ini, kejadian tembak-menembak di pantai yang sibuk di Cancún pada awal November tahun lepas menyebabkan dua suspek pengedar dadah terbunuh.
Bukan itu sahaja, pada bulan Oktober, seorang pelancong Amerika dan Jerman terbunuh dalam pertempuran antara dua kumpulan dadah di bandar peranginan Tulum.
Gelombang jenayah baru-baru ini menyebabkan Presiden Mexico, Andrés Manuel López Obrador menghantar 1,500 anggota pengawal kebangsaan untuk meronda di wilayah itu. – BBC NEWS