JOHOR BAHRU – Penularan pandemik Covid-19 dan pasca banjir tidak akan menghalang Johor daripada mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang tarikhnya akan ditetapkan nanti.
Setiausaha UMNO Johor Datuk Samsolbari Jamali berkata, PRN masih boleh diadakan dengan syarat Prosedur Operasi Standard (SOP) dipatuhi dengan ketat.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kebimbangan dalam kalangan rakyat apa yang berlaku di Sabah pada 26 September 2020 akan berulang di Johor.
“Di Johor soal banjir dan Covid-19 ini dapat ditangani dengan baik.
“Saya yakin. Umpamanya banjir, kita telah uruskan mereka masa banjir dan boleh dikatakan setiap daerah ditangani dengan baik oleh kerajaan Johor.
“Kalau kata teruk di Segamat teruk juga banjirnya tetapi Alhamdulilah kerajaan negeri ambil tindakan pra persediaan untuk berhadapan ujian Allah dan kita mampu mengawalnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Mesyuarat Perhubungan UMNO Johor di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Samsolbari berkata PRN perlu diadakan untuk kepentingan rakyat meski pembangkang berulang kali menyatakan pendirian sedia bekerjasama dengan majoriti tipis.
“Memang dinyatakan (pembangkang) akan beri kerjasama tetapi seperti yang dinyatakan Menteri Besar kita telah dimaklumkan bahawa pada satu ketika dia (pembangkang) tidak sama mengundi dan bawa usul berbeza.
“Sebab untuk kepentingan ramai dan benda itu (majoriti tipis) telah dimaklumkan dan difahamkan lebih awal,” katanya.
Ditanya kemungkinan UMNO akan meletakkan calon-calon muda, kata Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semarang itu, perkara itu akan dinilai berdasarkan prestasi semasa parti dan wakil rakyat.-MalaysiaGazette