Home Nasional Pengundi Johor mahu SPR pastikan SOP ketat

Pengundi Johor mahu SPR pastikan SOP ketat

Bendera Negeri Johor. Foto MOHD ADZLAN, 22 JANUARI 2022.

JOHOR BAHRU – Penduduk Johor yang bakal mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) mahu proses pelaksanaaan pilihan raya itu dijalankan dengan ketat dan mematuhi keseluruhan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang jangkitan Covid-19.

Langkah itu perlu diambil perhatian kerana negara masih berdepan dengan penularan Covid-19 ketika ini.

Rohaya Abdul Samad

Seorang surirumah, Rohaya Abdul Samad, 57, berkata, walaupun majoriti rakyat telah melengkap menerima suntikan vaksin masing-masing, namun perasaan bimbang masih ada.

“Sebagai individu yang layak mengundi, saya berharap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melaksanakan SOP yang ketat, jika tidak mungkin ramai yang bimbang untuk keluar mengundi.

“Kebimbangan kami ada asasnya kerana jangkitan kes menunjukkan peningkatan. Walaupun saya sudah terima tiga suntikan tapi rasa ragu-ragu masih ada kerana tidak pasti siapa yang belum menerima suntikan,” katanya kepada MalaysiaGazette

Isma Izzat Isahak

Sementara itu bagi anak muda, Isma Izzat Isahak, 29, pula berkata, sebagai anak muda dia bersetuju PRN Johor dilaksanakan dan berharap proses pengundian dapat dilaksanakan secara cekap oleh SPR.

Katanya, antara langkah yang perlu dipertingkatkan ialah tempoh menunggu di tempat mengundi.

“Sistem ini perlu diperbaiki semasa PRN Johor supaya tempoh menunggu mengundi disingkatkan. SPR perlu kaji pergerakan ini kerana isu-isu SOP perlu ditangani dengan berkesan.

“Dengan ini, para pengundi dalam melunaskan tanggungjawab mengundi tanpa rasa bimbang,” katanya yang mengakui sebagai orang muda dia suka pergerakan pantas.

Tan Ah Sek

Bagi Tan Ah Sek, 60, walaupun kurang bersetuju dengan pelaksanaan PRN, namun beliau juga mengharapkan SOP yang ketat dapat dipertingkatkan nanti.

“Saya ingat ini bukan masanya untuk pilihan raya, kalau boleh lewatkan sikit.

“Saya risau kerana semasa proses pilihan raya, ramai orang berkumpul untuk aktiviti kempen. Semasa pengundian pun ramai orang berkumpul, jadi saya risau,” ujarnya.

Fauzi Faizal

Bagi penjawat awam, Fauzi Faizal bagaimanapun berpendapat sepatutnya menjadi tanggungjawab rakyat untuk menjaga SOP supaya tiada kluster baharu selepas PRN.

Menurutnya, PRN Johor perlu diadakan memandangkan situasi politik negeri dan demi survival ekonomi serta kestabilan rakyat.

“Kerajaan Negeri Johor perlu kestabilan dan ini dapat dicapai melalui PRN. Dengan kestabilan pelabur tak bimbang untuk melabur di Johor, sekali gus menaikkan taraf ekonomi negeri ini,” tambah beliau. – MalaysiaGazette