Home Politik Rasman tidak calonkan semula jika terbukti bersalah

Rasman tidak calonkan semula jika terbukti bersalah

Rasman Ithnain

KULAI – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tidak bercadang mencalonkan semula Ahli Dewan Undangan (ADUN) Sedili, Rasman Ithnain untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sekiranya didapati bersalah dalam kes gangguan seksual.

Ketua Penerangan PPBM Johor, Mohd Solihan Badri berkata, sebarang keputusan yang diambil berdasarkan hasil siasatan polis kerana kes masih dalam siasatan dan dia belum dibuktikan bersalah.

“Jika dia terbukti bersalah kita akan ambil tindakan secara ‘politically’. Maka dia tidak akan kami calonkan,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya Musim Perayaan Tahun Baru Cina di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) Senai, hari ini.

Baru-baru ini tular dakwaan Rasman melakukan gangguan seksual terhadap seorang wanita ketika melakukan bantuan kepada mangsa banjir di Kuala Sedili, Kota Tinggi, Sungai Ara, Mersing dan Bukit Kepong, Muar.

Bagaimanapun, Rasman menafikan tuduhan berkenaan dan menyerahkan kes kepada peguam yang dilantik.

Rasman yang juga Ketua PPBM Bahagian Kota Tinggi berkata, dakwaan wanita tersebut tidak benar dan menyifatkannya sebagai satu konspirasi politik untuk mencemarkan reputasinya

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat sebelum ini memberitahu, pihaknya telah memanggil 11 individu bagi dirakam percakapan berhubung kes itu. – MalaysiaGazette