KUALA LUMPUR – Jalan pintas Temiang di Seremban ke Jelebu yang dibuka tahun lalu kini menjadi popular kerana keindahan pemandangan menghijau sepanjang pemanduan di situ.
Bagaimanapun laluan yang sebenarnya lengang sebelum ini mula sibuk terutamanya pada hujung minggu khususnya pada waktu petang.
Malah terdapat sesi perjumpaan sesama pemilik kenderaan yang mana ia mungkin menyalahi undang-undang jalan raya.
Menerusi satu video yang dimuat naik Shahirr di TikTok miliknya, dia sempat merakam gelagat geng konvoi Honda Civic FC yang meletakkan kenderaan di laluan kecemasan dan melepak dengan ahli-ahli konvoi yang lain.
Di ruangan komen video tersebut, rata-rata memberi pandangan tidak sesuai untuk dibuat perhimpunan di kawasan tersebut kerana laluannya yang sempit walaupun pemandangannya cantik.
Ada juga komen daripada individu yang berkemungkinan salah seorang pemilik Honda Civic FC di situ yang mengatakan perbuatan mereka itu tidak salah kerana mereka berhenti di tepi jalan dengan tertib dan bukannya berhenti di tengah jalan sehingga mengganggu trafik.
Pemilik akaun FC Malaysia di TikTok turut meninggalkan komen dan berterima kasih kepada perakam video kerana bantu menularkan aktiviti mereka sehingga naik keĀ for your page (FYP) TikTok. – MalaysiaGazette