KUALA LUMPUR – Gerak Cinta Watan (GCW) yang diwakili beberapa pertubuhan NGO dan aktivis masyarakat menyeru umat Islam negara ini kembali memperkukuhkan lima teras kekuatan bangsa.
Pengarah Himpunan Gerak Cinta Watan 1.0, Razali Daud berkata, lima teras itu ialah ketauhidan dan spiritual, akhlak dan cinta, keilmuan pelbagai bidang, kekayaan ekonomi serta kekuasaan politik watan.
GCW 1.0 yang disertai lebih 1,000 wakil dan aktivis masyarakat turut menyeru agar menyemarakkan pemuafakatan di kalangan rakyat serta komuniti tanpa terlalu bergantung kepada kerajaan dan parti politik.
“Kita perlu menjadikan perbezaan kepelbagaian di kalangan rakyat dan komuniti sebagai ramuan dalam membina kekuatan bangsa, watan dan sentiasa prihatin, waspada terhadap anasir khianat, gejala negatif di media sosial, agensi serta institusi dalam negara.
“Kita perlu terapkan untuk memusuhi gejala rasuah dan jadikan kejujuran sebagai pedoman urus tadbir agar para taikun atau kartel tidak terus menguasai sistem politik dan ekonomin negara.
“Selain itu, bekerjasama dengan semua pihak yang cinta pada Islam, bangsa, tanah air dan kebaikan seluruh rakyat jelata tanpa mengira kaum dan agama. Kita tidak bermusuh dengan sesiapa tanpa sebab munasabah,” katanya dalam kenyataan semalam.
GCW adalah satu inspirasi membangkitkan kesedaran masyarakat untuk bersama memperkasa kembali watan Tanah Melayu hasil cetusan pencetus inspirasinya, Walid Ibrahim Al-Malik.
Program pertamanya diadakan di Cyberjaya semalam dengan anjuran bersama Muwasolah Agamawan dan Aktivis Memperkasa Institusi Raja-Raja (MAMPIR), Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Muafakat Komuniti dan Akademi Silam.
Antara misi GCW ialah menjelaskan, watan adalah kesinambungan warisan Tanah Melayu berasaskan agama Islam aliran Ahlul Sunnah Wal Jamaah, kedaulatan Raja-Raja dan adat budaya bersendikan syariat.
Menurut Razali, kekuatan bangsa akan tersemat dengan memilih kepimpinaan yang baik, bijaksana, menyuburkan kebaikan, melemahkan kemungkaran serta meraih doa orang soleh bagi mendapat pertolongan Allah dalam menghadapi segala cabaran mendatang.
Katanya, membina kekuatan keperibadian, komuniti dan bangsa berteraskan iman dan ihsan, muafakat dan kasih sayang, kebijaksanaan dan kekuasaan turut menjadi teras perjuangan gabungan itu.
“Kita telah mengembeleng sokongan pelbagai pihak dan masyarakat untuk penyelesaian isu-isu yang melibatkan kepentingan agama, bangsa dan tanah air,” ujarnya.
Jelas beliau diakhir program itu, GCW 1.0 menzahirkan untuk bersama menyokong rumusan dan resolusi yang dicapai, antaranya;
Menyokong Rumusan Sidang Syura Bebas 1.0 yang diadakan pada 10 Ogos 2021, yang disertai 42 tokoh ilmuan, ulama, pakar bidang dan aktivis yang diyakini memiliki autoriti keilmuan, kuasa dan moral yang bersidang bagi merumuskan hal kepentingan memilih kepimpinan yang ahli serta ciri kelayakannya.
Menyokong tuntutan Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam kepada kepimpinan negara hasil dari Konvensyen Tanah Melayu 2022 pada 8 Januari lalu di Wisma Sejarah.
Menyokong Resolusi “International Convention on The Basic Structure of Constitution (ICOBAC) 2021” anjuran Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pada 15 dan 16 Disember 2021.
Ada dua kelompok manusia, jika kedua-duanya baik, maka masyarakat akan baik dan jika kedua duanya rosak, maka masyarakat akan rosak, mereka itu ialah ulama dan umara. – MalaysiaGazette