KUALA LUMPUR – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin telah berkenan berangkat ke Dubai bagi melawat Ekspo 2020 Dubai.
Selangor Royal Office menerusi Facebook memaklumkan, baginda berdua meluangkan masa selama enam hari melawat ke 32 pavilion negara-negara yang mengambil bahagian di ekspo antarabangsa berkenaan.
Menurut kenyataan itu, baginda berdua diberi taklimat semasa lawatan tersebut oleh wakil setiap pavilion mengenai isu-isu global yang signifikan khususnya mengenai kelestarian alam sekitar, memperkasa kemampanan serta keseimbangan ekosistem.
“Baginda amat sukacita kerana hasil daripada lawatan ke ekspo kali ini banyak memberi informasi dan ilmu pengetahuan terkini yang relevan dengan perkembangan teknologi semasa.
“Antara pavilion yang dilawati ialah Malaysia, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi, Belgium, Itali, Perancis, Sepanyol, Sweden, Jerman, Maghribi, Kazakhstan, Palestin, China, Thailand, Australia, United Nations (UN), Terra dan World Expo Museum,” menurut kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu, Ekspo 2020 Dubai berlangsung sejak 1 Oktober tahun lalu dan bakal berakhir pada 31 Mac depan bertemakan ‘Menghubung Minda, Mencipta Masa Depan’ telah membuka banyak peluang pasaran baharu dan menarik dalam meningkatkan perdagangan, pelaburan serta pertukaran budaya di antara negara-negara terlibat. – MalaysiaGazette