Home Politik Pemuda MCA Johor sokong penuh PRN Johor

Pemuda MCA Johor sokong penuh PRN Johor

Ling Tian Soon

SIMPANG RENGAM – Pemuda MCA Johor menyokong sepenuhnya keputusan untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi memulangkan mandat semula kepada Bangsa Johor.

Ketuanya, Ling Tian Soon menyatakan pendirian itu dengan  menyokong sepenuhnya bersama Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad dengan hasrat mengembalikan kestabilan dan keutuhan kerajaan negeri.

“Pemuda MCA Negeri Johor yakin kepada sistem demokrasi dan kematangan Bangsa Johor yang akan memilih satu kerajaan negeri yang mampu untuk berpretasi tinggi serta menjaga kebajikan rakyat dan negeri.

“Kami sedia berkhidmat dan bekerjasama bagi memastikan PRN diadakan dengan selamat dan lancar. Kami  juga sedar rakyat Johor sedang menghadapi pelbagai cabaran dan terus komited untuk membantu dan mengusahakan pemulihan ekonomi selepas penularan Covid-19 dan pasca banjir,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Tian Soon, Pemuda MCA  Johor sentiasa mendahulukan kepentingan rakyat dan akan terus berusaha demi kesejahteraan Negeri Johor.

Pihaknya juga menyedari keperluannya pembubaran DUN Johor bagi menjamin kestabilan kerajaan negeri yang terdedah kepada keadaan tidak stabil dan ketidaktentuan.

Johor, menurutnya, memerlukan kerajaan yang mendapat kepercayaan penuh rakyat dan kukuh demi kemakmuran dan kesejahteraan negeri.

“Kestabilan Johor kelak dapat menjamin segala dasar dan polisi yang memberi manfaat kepda rakyat,” katanya. -MalaysiaGazette