Home Seni Hidup Acha Septriasa lahir anak selepas 28 jam bertarung nyawa

Acha Septriasa lahir anak selepas 28 jam bertarung nyawa

Foto Instagram Acha Septriasa.

KUALA LUMPUR – Aktres jelita Indonesia, Acha Septriasa akhirnya bergelar ibu selepas selamat melahirkan seorang bayi perempuan semalam.

Acha, 28, dikatakan berdepan proses kelahiran yang mengambil selama 28 jam di Royal Hospital for Woman Sydney, Australia.

Menurut ibunya, Rita Emza, anak dan cucunya kini berada dalam keadaan sihat.

“Alhamdulillah, bayi cantik dan sihat tadi pagi jam 12.14 (waktu Sydney) dengan berat 3220 gram,” kongsi Rita seperti yang dilaporkan media Indonesia.

Rita memberitahu, proses kelahiran Acha mengambil masa yang lama kerana kebiasaanya hospital di Australia tidak mengalakkan wanita bersalin secara pembedahan.

“Ianya normal berjuang selama 28 jam. Kalau di sini memang harus normal walau sakit, kasihan sih,” tuturnya yang terbang ke Sydney empat hari lalu untuk memberi semangat kepada anak kesayangannya itu.

Selain tidak boleh menjalani pembedahan, Acha juga tidak dibenarkan datang ke hospital sebelum pintu rahimnya terbuka seluas tujuh sentimeter.

Sehingga berita ini ditulis, nama bayi comel tersebut belum lagi didedahkan kepada umum.

Acha atau nama sebenarnya Jelita Septriasa mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan Vicky Kharisma pada 11 Disember 2016 di Jakarta.

Pasangan itu mula bertemu dan menjalin hubungan cinta ketika mereka sama-sama mengikuti pengajian di sebuah universiti swasta di Malaysia.

Mereka kini menetap di Australia. – MalaysiaGazette