KUALA LUMPUR – Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal berlangsung di Johor dilihat sebagai langkah terbaik untuk mengembalikan kestabilan politik.
Menurut Exco Pemuda UMNO, Bastien Onn, langkah itu akan membolehkan rakyat negeri itu mendapat khidmat terbaik daripada kerajaan yang dipilih.
Justeru itu, tuduhan yang mengaitkan UMMO sebagai gila kuasa sepatutnya dihentikan pihak pembangkang.
“Bagaimana Pakatan Harapan (PH) boleh menuduh UMNO gila kuasa sedangkan parti ini sedang memerintah dan Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad menyerahkan kuasa kepada rakyat untuk memilih siapa yang mereka kehendaki mentadbir negeri ini.
“Pemergian bekas Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian secara tidak langsung telah mewujudkan ketidakstabilan dari segi kedudukan di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Jadi Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong jangan buat-buat tidak faham perkara ini. Kerajaan pimpinan Hasni hari ini bergantung kepada majoriti tipis,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pakatan Harapan (PH) Johor berkata, kini bukan masa sesuai untuk mengadakan pilihan raya berikutan rakyat sedang berdepan pelbagai isu termasuk ekonomi, penularan Covid-19 meliputi varian Omicron dan bencana banjir.
Perkara itu ditegaskan dalam satu kenyataan bersama oleh Pengerusi PH Johor yang juga Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Aminolhuda Hassan; Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh, dan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong
Pada Sabtu lalu, Sultan Ibrahim, Sultan Ibrahim Iskandar, memberi perkenan pembubaran DUN Johor bagi memberi laluan kepada PRN.
Bastien berkata, sekiranya PH mengambil pendirian tersebut, bagaimana kerajaan hendak berfungsi jika pada persidangan Dewan UNdangan Negeri kelak terdapat wakil rakyat kerajaan yang tidak dapat hadir untuk mengundi Rang Undang-Undang (RUU) atas pelbagai sebab yang tidak dapat dielakkan.
“Kerajaan akan menjadi lumpuh sekiranya pembentangan bajet atau RUU yang melibatkan rakyat tidak dapat diluluskan kerana ketidakhadiran seorang sahaja di pihak kerajaan.
“Situasi itu akan menyukarkan Kerajaan Negeri Johor untuk menjalankan urusannya terutama berkaitan isu kesihatan, ekonomi dan pendidikan.
“Ini adalah langkah menstabilkan kerajaan bagi memberi khidmat kepada rakyat. Barisan Nasional (BN) menyerahkan kepada rakyat untuk menentukannya,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ketua Pemuda UMNO Sekijang, Mohd Nor Saidil Ibrahim berpendapat, PRN Johor kali ini amat menarik disebabkan penyertaan Undi18.
“Kami pemimpin dari kalangan Pemuda UMNO mengalu-alukan kedatangan mereka untuk menyertai demokrasi kali ini,” katanya. – MalaysiaGazette