Home Nasional Padah lawan arus, lelaki parah dirempuh motosikal

Padah lawan arus, lelaki parah dirempuh motosikal

MELAKA – Padah menunggang motosikal secara melawan arus, seorang lelaki parah selepas dirempuh sebuah motosikal lain dalam nahas di persimpangan lampu isyarat Lebuh Alor Gajah- Melaka Tengah-Jasin (AMJ) di Paya Rumput, di sini, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, dalam kejadian kira-kira jam 6.45 petang itu, mangsa lelaki 40-an mengalami pendarahan otak termasuk parah di beberapa bahagian.

Menurutnya, ketika kejadian mangsa yang menunggang motosikal jenis Modenas Kriss dipercayai melawan arus dari arah Krubong ke Sungai Udang.

“Setiba di lokasi mangsa dipercayai bertindak melawan arus dari kiri jalan sebelum bertembung dengan sebuah motosikal lain jenis Suzuki Panther dari arah Paya Rumput ke bandar Melaka.

“Nahas mengakibatkan mangsa mengalami pendarahan otak selain patah kaki dan rusuk kanan dan kini dirawat di zon merah Hospital Melaka,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.  MalaysiaGazette