KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) bersedia menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan diadakan pada bila-bila masa susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN), kelmarin.
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, dalam persediaan menghadapi pilihan raya PN akan mengadakan rundingan dengan parti anggotanya bagi memuktamadkan kerusi yang akan ditandingi selain memberi tumpuan kepada persiapan jentera parti.
Namun jelas beliau, walaupun PN adalah sebahagian daripada kerajaan negeri Johor sebelum ini namun keputusan pembubaran DUN dibuat tanpa perundingan dengan PN Johor.
“Sekiranya diberikan mandat oleh rakyat negeri Johor dalam pilihan raya ini, PN akan membentuk sebuah kerajaan yang berintegriti, prihatin rakyat dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada penyampaian perkhidmatan yang cemerlang demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat negeri.
“Saya menyeru semua pengundi yang layak mengundi dalam PRN Johor kali ini supaya keluar mengundi dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang akan ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebooknya, hari ini.
Muhyiddin yang juga presiden Bersatu berkata, SOP yang ditetapkan pada PRN Johor kelak perlu seimbang dari segi keutamaan untuk mencegah penularan Covid-19 dan memberi ruang kepada parti politik untuk berkempen secara bebas, adil dan selamat.
“Saya juga mengalu-alukan semua pengundi baharu termasuk pengundi berusia 18 tahun ke atas yang akan mengamalkan hak demokrasi mereka sebagai pengundi buat pertama kali dalam PRN Johor.
“Tunaikan hak dan tanggungjawab anda secara bijaksana,” katanya. – MalaysiaGazette