Home Utama PM ulangi kerajaan tak lagi sekat pergerakan rakyat, ekonomi

PM ulangi kerajaan tak lagi sekat pergerakan rakyat, ekonomi

ismail sabri
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

PUTRAJAYA – Kerajan tidak lagi melaksanakan sekatan terhadap pergerakan rakyat dan sektor ekonomi dalam mengawal penularan Covid-19.

Pendirian itu diulangi Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob apabila memberitahu, pendekatan lebih teratur dan tidak teralu keras terutama berkaitan prosedur operasi standard (SOP) digunakan berpandu kepada nasihat oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Beliau berkata, kerajaan kini memberi tumpuan untuk terus mengurangkan kes pandemik dan pada masa sama memulihkan ekonomi.

“Dua hari lalu, kerajaan sudah mengumumkan bahawa kita tidak membuat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk menyekat pergerakan rakyat. Tiada istilah menyekat pergerakan dari daerah ke daerah dan negeri ke negeri lain.

“Cuma, kita masih menutup sempadan negara. Ini kerana kes di negara luar masih tinggi. Justeru, kita berhati-hati walaupun sudah memulakan Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) dengan Singapura.

“Kita juga sedang membincangkan VTL dengan Indonesia dan sepatutnya ke Thailand tetapi kes meningkat maka kita menggantung pergerakan ke luar negara ini dulu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat kepada warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Perdana Putra di sini hari ini.

Dalam pada itu Perdana Menteri berkata, kerajaan turut mempertimbangkan kelonggaran SOP jika proses dos penggalak selesai.

Bagaimanapun katanya, ia bergantung kepada nasihat yang diberikan oleh KKM berhubung kelonggaran itu.

Tambahnya, jika kerajaan terlalu rigid (keras) kesannya adalah terhadap industri pelancongan.

“Setakat ini industri pelancongan masih belum dibuka sepenuhnya walaupun dari segi domestik tourism telah dibuka tetapi pelancong antarabangsa masih belum dibuka.

“Dan susbsidi upah yang diumumkan oleh kerajaan masih diberikan kepada pemain-pemain industri pelancongan ini.

“Jadi, sebab itulah walaupun rakyat kita telah pun diberikan booster maka mungkin kita boleh rileks sikit dari segi SOP…tapi KKM perlu berikan pandangan dalam perkara ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette