KUALA LUMPUR – Polis menahan tujuh lelaki Filipina yang disyaki terlibat dalam aktiviti Kumpulan Abu Sayyaf.
Tangkapan yang dijalankan oleh Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas itu susulan tangkapan kumpulan itu yang merancang menyerang upacara penutupan Sukan SEA di Kuala Lumpur dan Perbarisan Hari Kebangsaan di Dataran Merdeka baru-baru ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, kesemua mereka yang berusia antara 22 hingga 38 tahun itu bekerja sebagai pengawal keselamatan di beberapa syarikat swasta di Selangor dan Kuala Lumpur.
Salah seorang suspek adalah anggota Kumpulan Abu Sayyaf yang pernah terlibat dalam pertempuran dengan tentera Filipina dan penculikan di selatan negara itu.
“Mereka telah menyusup masuk ke Malaysia melalui Sandakan, Sabah pada September 2015 sebelum berlepas ke Kuala Lumpur dengan menggunakan dokumen perjalanan palsu,” katanya dalam kenyataan di sini.
Polis akan meneruskan operasi susulan bagi mengesan dan menangkap pengganas asing ke Malaysia sama ada untuk berlindung, mengumpul dana, melancarkan serangan atau menjadikan negara ini sebagai pangkalan operasi
Sejak awal tahun ini, seramai 41 orang warga asing yang dikategorikan sebagai foreign terrorist fighter telah ditahan.
Kesemua mereka ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Bab VIA – kesalahan berkaitan dengan keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas 2012 (Akta 747). – MalaysiaGazette